suria

Hael Husaini tidak akan ‘berpisah’ dengan Ezra Kong

Trofi Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL33) milik Ezra Kong, Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini. Foto Instagram @haelhusaini & AFIQUE YUSOFF

KOMPOSER dan penyanyi Hael Husaini tidak akan 'berpisah' dengan rakan kolaborasinya, Ezra Kong dalam mencipta lagu walaupun ada pihak lain yang ingin bekerjasama dengannya selepas ini.

Hael berkata, dia selesa bekerjasama dengan Ezra yang disifatkan sebagai berbakat besar selain lelaki itu adalah individu pertama yang mempercayai bakatnya sebagai seorang penggubah lagu.

"Saya tak berjumpa lagi dengan rakan kolaborasi seperti Ezra... Jujurnya saya tiada ilmu secara formal dalam bidang muzik tetapi bersama Ezra dia dapat baca dan menterjemahkan semua idea dan melodi yang ada dalam kepala saya menjadi sebuah lagu yang sedap.

Gandingan Hael dan Dayang membuahkan hasil.

"Gabungan kami itulah sebenarnya yang membuatkan kami berada di sini hari ini selain kami serasi ketika bekerjasama," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Haram’ juara AJL33, Hael Husaini dan Ezra Kong rangkul anugerah dua tahun berturut-turut

ARTIKEL BERKAITAN: 'Haram' tampil kelainan, lagu lain klise masih terikut acuan 90-an - Azmeer

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Assalamualaikum’ buka peluang Ezra Kong dalam arena muzik Melayu

Lagu ciptaan mereka berjudul Haram yang turut menampilkan Dayang Nurfaizah itu muncul sebagai juara AJL33 yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil pada malam Ahad lalu.

Kemenangan itu juga membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi.

Hael memberikan ucapan kemenangan.

Pada AJL edisi ke-32 tahun lalu, Ezra dan Hael pernah bergelar juara menerusi lagu Jampi.

Dalam pada itu, Hael mendedahkan walaupun mereka serasi dalam mencipta lagu namun adakalanya mereka tidak terlepas daripada bertengkar.

"Bergaduh itu selalu dan kebiasaannya Ezra yang akan menang! Tapi kami bertengkar hanyalah kerana soal kerja dalam memastikan lagu yang kami cipta adalah yang terbaik," ujarnya.

Mengulas mengenai kemenangan di AJL33, Hael berkata mereka tidak meletakkan sebarang harapan sebaliknya menjangkakan lagu nyanyian Misha Omar berjudul Sampai Bila akan menggondol trofi itu.

Ezra Kong. 

Pun begitu katanya, dia bersyukur dengan kemenangan tersebut dan menyifatkan ia sebagai rezeki.

Sementara itu, Hael berkata, kemenangan itu juga bukan alasan untuk mereka menaikkan harga bagi mana-mana penyanyi yang ingin mendapatkan khidmat mereka selepas ini.

"Tiada kenaikan harga atau tekanan apabila menang kerana pada kami bila buat lagu itu kami akan fokus satu persatu.

"Biar lambat asalkan kualiti itu adalah yang terbaik dan sesuai dengan penyanyi tersebut," katanya.

Artikel Lain