PENGLIBATAN bekas peserta program Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9) iaitu Erul menerusi aktiviti senaman tarian BebyDollz Salsation baru-baru ini mengundang kecaman netizen sehingga ada menggelarnya seorang pondan. Netizen turut mempersoalkan tindakan Erul yang dilihat memakai bengkung ketika melakukan aktiviti itu kerana merasakan ia tidak sesuai untuk lelaki sepertinya. Pun begitu, Erul atau Khairul Najmuddin Abu Samah, 28, berkata, dia tidak kisah dengan kritikan netizen terhadapnya kerana apa dilakukan bukan satu kesalahan. Jelasnya, individu yang berfikiran bahawa lelaki tidak boleh menyertai aktiviti zumba atau memakai bengkung seharusnya melihat kembali kepada diri sendiri kerana itu adalah usaha dia dalam menjaga kesihatan dirinya. Erul bersama Beby ketika sama-sama menyertai aktiviti senaman zumba sambil memakai bengkung. "Saya tak rasa apa-apa pun apabila baca orang kata saya pondan hanya kerana saya pakai bengkung dan melakukan aktiviti zumba. "Sebenarnya pada saya mudah... Ia tiada kena mengena dengan pondan ke, gay ke apa ke kerana itu adalah salah satu aktiviti untuk menjaga kesihatan. "Ramai sebenarnya lelaki yang turut memakai bengkung untuk mendapatkan bentuk tubuh menarik sekaligus sebagai salah satu langkah menurunkan berat badan," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu, Erul berkata, dia sudah menggunakan bengkung selama beberapa bulan dan gembira dengan hasilnya apabila dia berjaya menurangkan berat badan hampir sembilan kilogram. Antara komen netizen terhadap Erul. "Mungkin yang bercakap itu dengki sebab mereka tidak menjaga berat badan dan kesihatan mereka. Tidak apalah, harap-harap mereka ada kesedaran untuk mengubah cara hidup lebih sihat. "Saya sendiri pernah mengalami masalah berat badan dan aktiviti zumba dan pemakaian bengkung nampaknya sesuai dan saya akan teruskan," jelasnya. Sementara itu, penganjur aktiviti itu, Beby Maembong berkata, masyarakat seharusnya mengubah pemikiran terhadap aktiviti sedemikian sebaliknya melihat kepada kebaikan yang cuba ditonjolkan. Beby yang juga dikenali sebagai Mermaid Malaysia memberitahu, dia tampil dengan idea mengenengahkan pemakaian bengkung dalam aktiviti senaman itu sebagai kelainan dalam menarik minat orang ramai untuk melakukan aktiviti riadah secara kreatif. Beby juga dikenali sebagai Mermaid Malaysia. "Kebiasaannya kalau kita lihat, orang memakai baju sauna ketika bersenam... Saya ingin ubah budaya itu dengan mengenengahkan pemakaian bengkung menerusi aktiviti senaman zumba. “Melaluinya, saya ingin menyampaikan mesej bahawa pemakaian bengkung dengan 16 tetulang ketika bersenam bukan saja selesa tapi juga selamat digunakan. “Selain itu kita juga ingin melihat sejauh mana efektifnya pemakaian bengkung ketika bersenam. Adakah ukuran pinggang peserta akan mengecil beberapa inci," katanya yang juga mengeluarkan produk bengkung Slimdollz.