suria

‘Lost’ jadinya apabila stesen radio tutup - Fizi Ali

Fizi bersyukur Suria FM menawarkannya kerja sebagai penyampai radio.

PENYAMPAI radio Suria FM iaitu Fizi Ali terkenang pengalaman awal pembabitannya bekerja dalam bidang radio yang ketika itu hanya boleh didengari di Kuala Lumpur sahaja.

Fizi atau nama sebenarnya Mohd Hafizudin Alimudin, 30, berkata dia tidak menyangka berjaya dalam percubaan pertama sesi uji bakat menjadi penyampai radio.

"Teringat awal-awal dulu abam (abang) dalam bidang radio. Tak sangka betul sekali datang uji bakat terus berjaya.

"Masa tu radio yang abam kerja boleh dengar kat KL saja. Masa tu la belajar macam-macam fasal radio. Bila radio tu tutup kita 'lost' kejap," kata Fizi.

Fizi kongsi pengalaman awal menjadi penyampai radio.

Suami kepada pelakon Shakilla Khoriri itu berkongsi perkara tersebut menerusi laman Instagram miliknya pada Rabu.

Fizi memulakan kerjaya radionya sebagai penyampai Ultra FM selama dua tahun sebelum stesen itu ditutup pada 2015.

Dia kemudiannya berkhidmat di Suria FM pada Julai 2016 dan ketika itu dia bergandingan bersama Zulin Aziz dan Halim Othman menerusi segmen Ceria Pagi Suria.

Fizi yang masih berkhidmat untuk stesen radio tersebut kini mengendali segmen Team Pagi Suria bersama Issey Fazlisham.

Fizi kini mengendali segmen Suria Pagi bersama Issey.

Dalam pada itu, Fizi bersyukur apabila Suria FM menawarkan dia untuk bekerja dan berterima kasih kepada semua yang menyokongnya dari dulu sehingga kini.

"Alhamdulillah Suria FM tawar abam kerja dan terus abam usaha yang terbaik sampai sekarang.

"Bagaimanapun abam nak terima kasih dekat semua yang sokong abam dari dulu sampai sekarang. Zaman abam jatuh terduduk sampai tempat abam ada sekarang ni.

"Apa-apa pun untuk team pagi Suria abam dan @isseyfazlisham akan buat yang terbaik untuk pendengar Suria," ujarnya.

Fizi Ali, Suria Fm

Artikel Lain