suria

Tampil bersama trio E1, Ezuwan Ismail tetap teruskan bidang fesyen

E1 dianggotai oleh Zulyasrani (kiri), Ezuwan dan Ariff.

PEREKA fesyen Ezuwan Ismail menjelaskan kemunculannya sebagai penyanyi menerusi kumpulan trio E1 bukan petanda dia akan meninggalkan kariernya dalam bidang fesyen.

Sebaliknya kata Ezuwan, 37, apa yang dilakukan kini lebih kepada membuktikan kesungguhannya untuk bergelar penyanyi kerana bidang itu adalah minatnya sejak dahulu lagi.

Malah bapa kepada dua anak bernama Eisa Zhafran dan Eisa Zaquan ini juga optimis menyatukan fesyen dan seni muzik menerusi kumpulan ini kerana sedar sejak sekian lama perihal berkenaan tidak dapat dipisahkan.

"Kalau dalam negara kita mahupun seantero dunia ini mungkin tak ada pereka fesyen yang bergelar penyanyi, jadi saya ingin menyahut cabaran itu.

"Saya anggap ini percubaan berkongsi sedikit bakat yang ada sekali gus mencipta sejarah peribadi ‘pereka fesyen jadi penyanyi’... Untuk saya tampil menyanyi solo itu mungkin sesuatu yang saya sendiri gentar, lalu bersama dua teman seperjuangan saya rasa lebih kebal.

E1 mempertaruhkan single berjudul Semalam Sahaja.

“Minat nyanyian saya sebenarnya sudah berputik sejak di bangku sekolah lagi. Tapi ia lebih kepada hobi semata-mata. Cuma dulu kalau ada pertandingan menyanyi di sekolah pun, saya tiada keberanian untuk menyertainya kerana kurang yakin dengan diri sendiri," katanya.

E1 yang turut dianggotai oleh Zulyasrani dan Ariff tampil dengan single pertama mereka berjudul Semalam Sahaja ciptaan Asfan Shah.

Dalam pada itu, Ezuwan berkata, dia sebelum ini memendamkan perasaan untuk bergelar penyanyi kerana tiada saluran atau bantuan tepat yang boleh membantunya mencipta nama dalam bidang seni.

“Dulu pun saya tak pasti sama ada suara ini sedap atau sebaliknya atau mungkin saya belum diberi peluang membuktikannya. Pelbagai rasa bermain dalam diri.

E1 optimis kehadiran mereka akan mendapat sambutan baik pendengar.

"Namun saya lawan segala perasaan itu. Hasrat saya nak menyanyi dan menubuhkan kumpulan itu menjadi berkobar-kobar sejak Oktober tahun lalu.

"Saya manfaatkan hubungan baik dengan rakan industri seni yang selama ini menyokong jenama Ezuwan Ismail untuk mendekatkan lagi jarak serta minat untuk babit secara serius dalam muzik,” katanya.

Tambah Ezuwan lagi, dia berharap kembara seninya yang baru bermula ini akan terus menjadi batu loncatan untuk mengukuhkan jenama fesyen miliknya.

“Fesyen sudah menjadi cinta pertama saya yang tiada galang ganti. Jadi tak pernah terlintas langsung untuk saya ‘mengorbankan’ jenama Ezuwan Ismail kerana menceburi nyanyian.

“Sebaliknya saya mahu terus kembangkan jenama fesyen menerusi platform nyanyian pula. Saya anggap ini strategi serampang dua mata kerana kumpulan E1 juga selesa memakai koleksi rekaan saya sendiri dalam setiap promosi atau acara yang dihadiri,” ujarnya.

E1, Ezuwan Ismail

Artikel Lain