suria

“Kalau diri tak terurus, buat apa nak bebankan orang lain” - Fauziah Latiff

Fauziah Latiff tidak rasa sunyi.

PENYANYI Fauziah Latiff memberitahu kehidupannya kini berada pada tahap yang baik dan tidak sunyi biarpun 13 tahun hidup bersendirian.

Fauziah, 49, berkata, hatinya sentiasa terisi dengan kasih sayang keluarga, anak-anak dan rakan-rakan.

"Alhamdulillah hati saya tak kosong dan sentiasa terisi. Saya bahagia dengan apa yang saya lalui sekarang.

"Jika berkaitan jodoh saya serahkan kepada Allah dan saya pun tidak mencari. Kalau ada, adalah.

"Masih banyak perkara lain boleh difikirkan. Kalau diri sendiri pun tidak terurus, buat apa saya mahu bebankan orang lain pula. Jadi, lebih baik saya uruskan diri sendiri," ujarnya kepada mStar Online.


Fauziah mahukan lagu genre rancak.

Fauziah atau lebih mesra disapa Jee ini pernah berkahwin dengan Johan Indut di London pada 1997 namun bercerai pada 2007.

Perkahwinan selama 10 tahun itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata Jeffri Joaqium, 20, dan Jeremy Jay, 18.

Sementara itu, Fauziah ditemui baru-baru ini berkata, dia kini sibuk menguruskan studio tarian dan muzik miliknya.

Dia juga dalam proses mencari bahan terbaik dalam mengeluarkan single terbaharu.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini memilih untuk membawa lagu rancak sebagai buah tangan baharunya itu.

"Buat masa sekarang, saya sibuk menguruskan studio milik saya yang diberi nama Dia Studio. Insya-Allah dalam masa terdekat akan ada pembaharuan antaranya kelas tarian dan studio muzik.

"Perkembangan lain, saya ingin mengeluarkan lagu berentak rancak kerana lama rasanya tak keluar lagu sebegini. Genre begitu saya perlukan persediaan dari sudut fizikal," ujarnya.

Dalam pada itu, Fauziah bersama Azmi Caliph Busker menjadi juri tetap untuk program realiti nyanyian Microfon Impian.

Fauziah Latiff

Artikel Lain