suria

“Pada ketinggian 15,000 kaki, betapa kerdilnya kita” - Mira Filzah kongsi pengalaman cuba sukan payung terjun

Mira Filzah berharap dapat melakukan terjunan solo suatu hari nanti. Foto AZMAN GHANI & Instagram @mfmirafilzah

PERKONGSIAN pelakon jelita Mira Filzah yang mencuba sukan payung terjun secara tandem dari aras 15,000 kaki di Sydney Skydivers, Australia baru-baru ini mendapat pujian atas keberaniannya mencuba aktiviti ekstrem itu.

Bagaimanapun kata Mira, di sebalik itu, dia tidak hanya melihat sukan itu sebagai satu sukan atau aktiviti suka-suka tetapi terjunan yang dilakukan adalah satu cerminan terhadap kehidupan.

Jelasnya, saat melompat keluar daripada pesawat dia menyedari bahawa dirinya sangat kerdil apabila memandang ke bawah yang kesemuanya kelihatan kecil apabila berada di atas udara.

Mira memberitahu sukan terjunan payung udara adalah antara impian yang ingin dilaksanakannya.

"Apa yang saya nampak pada sukan ini ia seperti kehidupan kita kerana apabila berada di atas pada ketinggian 15,000 kaki barulah saya sedar yang sebenarnya kita ini hanya kerdil dalam dunia ini.

"Ketika terjun perasaan takut itu memang ada dan kita hanya ada 90 saat untuk membuka payung terjun dan dalam tempoh itu pelbagai perkara boleh terjadi.

"Tapi saya anggap ia macam kehidupan kita yang penuh dengan ketidakpastian namun ia membuatkan saya bermuhasabah diri selain mengagumi ciptaan Allah," katanya.

Mira ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta Malaysian Parachute Association (MyPA) selama setahun yang diadakan pada Sabtu.

Mira menerima sut penerjun udara daripada presiden MyPA, Kapten (B) Amar Ab Aziz pada sidang media yang berlangsung pada Sabtu.

Pada majlis itu, ia turut dihadiri oleh presiden MyPA, Kapten (B) Amar Ab Aziz yang juga individu bertanggungjawab memperkenalkan sukan ekstrem itu kepada Mira.

Dalam pada itu, Mira mengakui sudah jatuh cinta dengan sukan tersebut dan peluang sebagai duta MyPA akan digunakan sebaiknya untuk mempelajari selok-belok mengenai sukan ini termasuk berhasrat untuk membuat terjunan solo suatu hari nanti.

Namun apa lebih penting kata Mira, dia berharap penglibatannya mampu menarik minat orang ramai terutamanya golongan muda di negara ini.

Mira dilantik sebagai duta MyPA selama setahun.

"Ramai menyangka sukan ini merbahaya tetapi sebenarnya jika kita mengikuti kursus dan mengikut panduan ia selamat dilakukan serta ia memberi kepuasan luar biasa.

"Selain ini adalah impian saya, menerusi sukan ini juga saya mahu beritahu masyarakat di luar sana bahawa wanita terutamanya yang bertudung boleh melakukan pelbagai perkara asalkan ia berlandaskan agama dan batas.

"Aktiviti ini semakin berkembang di Malaysia dan harap-harap dalam tempoh setahun ini objektif untuk perkenalkan sukan itu kepada lebih ramai orang tercapai... Memang sekali seumur hidup kena cuba!," jelasnya.

Mira Filzah

Artikel Lain