suria

Elvina Mohamad buka IG anak bukan untuk jana pendapatan, raih pengikut

Elvina dan suami bersama anak mereka, Karl Mateen pada majlis aqiqah yang diadakan baru-baru ini. Foto MUHAMAD SHAHRIL ROSLI

PELAKON Datin Elvina Mohamad menjelaskan kemunculan Instagram untuk anak lelakinya, Karl Mateen bukan untuk meraih pengikut apatah lagi menjadikan ia sebagai medan menjana pendapatan.

Sebaliknya kata Elvina, akaun itu diwujudkan suaminya, Datuk Mohd. Haniff Borhan semata-mata untuk memuat naik gambar perkembangan Karl buat tatapan anak mereka apabila dia besar kelak.

"Saya sebenarnya tidak mahu Karl ada Instagram sendiri tetapi akaun itu dibuka oleh suami saya.

"Bukan apa dia mahu memuat naik gambar-gambar perkembangan Karl sejak lahir untuk tatapannya apabila besar nanti... Akaun itu pun kami letakkan dalam mod privasi.

Karl penyeri hidup Elvina.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah tangga kembali pulih, Elvina sudah maafkan suami

"Jadi ia diwujudkan bukan untuk meraih pengikut ke apatah lagi bagi menjana pendapatan menerusi IG Review dan sebagainya," katanya.

Bercakap mengenai kehidupannya sebagai seorang ibu pada usia 24 tahun, Elvina memberitahu ia pengalaman menakjubkan selain mengubah dirinya dalam pelbagai sudut.

Paling utama katanya, dia lebih memahami soal tanggungjawab selain mematangkan dirinya sebagai seorang wanita.

Kesayangan Elvina dan Mohd. Haniff.

"Perubahan itu datang secara semulajadi... Alhamdulillah kehadiran Karl dan perlu membesarkannya adalah tanggungjawab yang saya sifatkan sebagai indah dan menakjubkan.

"Dia adalah segala-galanya buat saya dan suami dan kehadirannya adalah rahmat buat kami sekeluarga," katanya.

Dalam perkembangan lain, Elvina berkata, dia bakal kembali memasuki set penggambaran drama bersiri Geng Mak-Mak pada Mac ini bersama Sazzy Falak dan Fatin Afeefa.

Elvina dan Mohd Haniff, 33, berkahwin pada 18 Mac 2018. Pasangan ini menimang cahaya mata sulung pada awal Disember tahun lalu.

Elvina Mohamad, Karl Mateen

Artikel Lain