suria

Sharif (Zero) gementar, Achey undang Safee Sali dalam BBB 2019

Chaiwan (dari kiri), Achey, Mamak Puteh dan Sharif Zero bakal bersaing di BBB 2019.

PELAWAK Sharif (Zero) berasa takut dan gementar apabila kali pertama menyertai pertandingan Bintang Bersama Bintang 2019 (BBB 2019) secara solo tanpa dua anggota kumpulannya iaitu Syaiful dan Atu.

Bagaimanapun, Sharif menyifatkan ia sebagai satu cabaran untuk dirinya berusaha sendiri tanpa bantuan dua adik-beradiknya itu.

"Cabaran baru buat saya kali ini terpaksa berjuang bersendirian tanpa Syaiful dan Atu. Sebelum ini kami cari idea bertiga dan selalu bertukar fikiran dan kurang sedikit tekanan.

"InsyAllah saya akan cuba buat yang terbaik dan cari idea-idea yang segar dalam pertandingan ini," katanya.

Sharif ditemui pada sidang media program Bintang Bersama Bintang 2019 di Sri Pentas pada Selasa.

Rancangan itu bakal berlangsung pada Ahad ini, pukul 9 malam di TV3.

Barisan peserta, juri tetap dan hos program BBB 2019.

Seramai lima orang pelawak bakal berentap dalam program realiti itu yang turut disertai oleh Achey, Shuk, Mamak Puteh dan Chaiwan.

Sementara itu, Achey berkata, dia sedang mencuba nasib untuk mengundang pemain bola sepak Safee Sali dalam pertandingan itu.

"Setiap minggu setiap pelawak perlu tampil dengan tetamu undangan dalam sketsa mereka. Saya fikir untuk menjemput orang ternama tapi bukan dalam industri hiburan.

"Saya ada mesej Safee Sali untuk episod pertama ini namun belum ada maklum balas," ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Jenama dan Rancangan & Perolehan, Rangkaian Tevisyen Media Prima Berhad, Zurina Othman berkata, program ini mencabar pelawak berkarya di luar kotak.

"Dengan aplikasi teknologi masa kini, kebolehan seorang pelawak adalah lebih meluas, tidak hanya membuatkan anda ketawa tetapi juga mahu menyampaikan mesej dengan cara mudah diterima.

"Kebolehan barisan pelawa baharu seperti Chaiwan, Sharif Zero dan Mamak Puteh tidak boleh diperlekehkan kerana berani menyahut cabaran untuk bersaing dengan Achey dan Shuk.

"Kreativiti mereka dalam memberi variasi dalam setiap persembahan akan menentukan kredibiliti mereka sebagai pelawak," ujarnya," ujarnya.

Program ini menampilkan pelawak veteran Saiful Apek dan Mark Adam sebagai juri tetap yang bertanggungjawab menilai 50 peratus persembahan peserta.

BBB 2019 turut menampilkan hos baharu iaitu Elly Mazlein.


Artikel Lain