PELAKON Elisya Sandha terpaksa berhenti kongsi foto bersama anak lelaki penerbit dan pelakon Sheila Rusly, Uzair Haqimy kerana tidak mahu peminat salah faham. Elisya atau Nur Elisya Sandha Mohd Faisal, 20, berkata dia dan Uzair Haqimy masih lagi berkawan seperti dan mereka tidak pernah ada hubungan istimewa. "Memang betul kami rapat tapi sebagai kawan sahaja. Dia kawan dengan saya sejak zaman kami belajar sama-sama dan kebetulan masuk dalam industri yang sama. "Kami terpaksa berhenti kongsi foto bersama di laman sosial sebab kami rasa macam orang dah salah sangka dengan perkongsian itu. ARTIKEL BERKAITAN: Dunia seni tak seindah mana... Fasha Sandha larang Elisya jadi pelakon Elisya dan Uzair masih lagi berkawan. "Orang ingat kami bercinta tapi sebenarnya kawan saja. Daripada kita biarkan orang salah faham, lebih baik kita berhenti kongsi," katanya kepada mStar Online. Sebelum ini, Elisya dilihat mempunyai hubungan rapat dengan anak lelaki sulung Sheila Rusly itu apabila mereka kerap memuat naik foto bersama di laman sosial pada 2017. Bagaimanapun sejak perkara itu diperkatakan, Elisya dan Uzair tidak lagi berkongsi foto mereka dan ada segelintir pihak beranggapan hubungan itu telah berakhir. Dalam pada itu, adik kepada pelakon Fasha Sandha ini turut dikaitkan mempunyai hubungan cinta dengan beberapa pelakon lelaki setiap kali memuat naik foto bersama. Elisya ambil gosip cinta secara positif. Namun, Elisya mengambil perkara tersebut secara positif memandangkan tujuan dia berkongsi foto dengan pelakon itu untuk mempromosikan drama sahaja. "Saya ambil perkara itu secara positif. Sebab saya hanya memuat naik foto bersama pelakon lelaki untuk promosi drama. "Tapi setiap kali saya kongsi foto dengan mana-mana lelaki, ada yang ingat kami bercinta sedangkan dia hanya pasangan dalam drama sahaja. "Apa sahaja saya muat naik berkaitan dengan drama, kena lihat saya sebagai watak dalam lakonan tu. Bukan sebagai Elisya," ujarnya.