suria

Noraniza Idris sanggup turun berat badan demi siri jelajah

Noraniza Idris dalam siri jelajah Malai Solo Tour 2019/2020.

PENYANYI Noraniza Idris sanggup menurunkan berat badannya demi menjaga stamina bersempena konsert jelajahnya, Malai Solo Tour yang akan berlangsung sehingga tahun 2020.

Menurut Noraniza, 50, bagi mendapatkan bentuk badan ideal dia menyertai kelas senaman tiga kali seminggu serta aktiviti tarian untuk menambah mutu persembahannya.

"Selain senaman, saya juga mengamalkan pemakanan sihat seperti beras perang sebanyak satu genggam sehari.

"Satu bulan ini harapnya saya dapat turunkan beberapa kilo untuk konsert ini," ujarnya.

Penyanyi irama Malaysia ini ditemui ketika sidang media Noraniza Idris Sawo Matang di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur.

Lokasi pertama siri jelajah ini telah bermula pada 28 Februari di Laman Wau, Kompleks Kraf dan lokasi seterusnya di MATIC, Kuala Lumpur pada 12 April depan.

Dalam pada itu, Noraniza berusaha mengangkat identiti irama Malaysia secara meluas melalui program Sawo Matang, salah satu usaha yang diketengahkan dengan aktiviti bengkel dan persembahan pentas dalam mempromosikan keunikan budaya Melayu.

Noraniza Idris

Noraniza berkata: “saya beri pendekatan melalui program kelas tari. Sambutan juga amat menggalakkan menerusi kelas tari yang hanya RM15 sahaja untuk lapan jam.

“Bengkel ini juga khas untuk pelajar-pelajar yang ingin belajar asas tarian irama malaysia.

“Satu kerjasama bersama kementerian pendidikan ini dapat menyumbang kepada aktiviti kurikulum pelajar tersebut," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, konsert jelajah ini juga menampilkan lapan segmen berupa transformasi keunikan budaya enam kaum terbesar di Malaysia dan punca kedatangan menerusi sejarah serta himpunan 100 artis budaya dalam memainkan irama berlainan elemen etnik.

Selain itu, Juara program realiti 3 Juara iaitu Azizul Haqiem sebagai artis jemputan bergabung vokal tradisional Malaysia bersama Noraniza untuk penutupan program ini.

Penyanyi irama Melayu ini masih memperjuangkan identiti Malaysia secara meluas dan telah berkecimpung dalam industri selama 33 tahun.

Tiket program Sawo Matang berharga RM99, RM119, RM139, RM169 dan RM189 boleh didapati menerusi Harithmai Production di talian 019-3391445.

Noraniza Idris

Artikel Lain