suria

“Saja nak tengok komen orang bijak pandai fesyen, yang melampau saya sekat” - Siti Nurhaliza

Siti mahu melihat komen-komen netizen yang dianggap bijak dalam menilai fesyennya.

PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza memberitahu dia sengaja mahu melihat komen-komen netizen yang dikatakan bijak dalam mengkritik fesyennya.

Siti, 40, berkata dia sememangnya memberi kebebasan kepada pereka fesyen untuk berkarya dan tidak pernah menggangu hasil kerja mereka yang menghasilkan sesuatu mengikut tema setiap acara atau majlis.

Menurut penyanyi lagu Anta Permana ini, pereka fesyennya juga turut berasa gementar memandangkan netizen gemar memberi komen serta kritikan terhadap rekaan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Asalkan selesa, buat apa nak pakai pakaian ketat” - Siti Nurhaliza jawab busana dikritik lapuk

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat tegar Tok Ti minta maaf, tegur baju lapuk mahu idolanya tampil menarik


Siti beri kebebasan kepada pereka fesyen untuk rekaan busananya.

"Saja nak tengok komen orang bijak pandai fesyen... Yang melampau saya sekat. Jangan marah aaa. Saya saja bagi pereka fesyen berkarya dan saya tak kacau pun sebab dia ikut tema.

"Korang (kau orang) ingat semua pereka fesyen tak ketar ke nak buat untuk Siti Nurhaliza? Sebabnya yang rasa lebih hebat daripada pereka fesyen tu ramai nak beri komen.

"Sayang tu saya faham tapi... Berpada-pada la ya," tulis Siti di ruang komen foto dia memakai busana rekaan Ridzuan Bohari di malam CIMB Islamic X Maher Zain pada Rabu.

Busana berwarna jingga kemerah-merahan itu mengundang kritikan netizen yang beranggapan rekaan tersebut tidak sesuai dengannya.

Bagaimanapun, ada segelintir pengikut di laman sosial seperti tidak percaya yang penyanyi tersohor itu menulis kenyataan sedemikian.

Netizen seakan tidak percaya Siti menggunakan gaya bahasa tidak sesuai di ruang komen foto tersebut.

"Admin @ctdk, kena jaga bahasa lepas ni. Datuk Seri Siti Nurhaliza tak macam ni. Ini IG rasmi @ctdk. Harap @rozisangdewi beri perhatian gaya bahasa yang digunakan.

"Ada lain macam sikit... Tak baik tau ugut-ugut pengikut," kata salah seorang netizen yang meninggalkan komen.

Sebelum ini, busana Siti ketika mengadakan konsert jelajah di Jakarta, Indonesia menerima kritikan daripada seorang pereka fesyen baharu yang menganggap ia sudah lapuk dan tidak sesuai dengan kehebatan namanya.

Namun, Siti memberitahu dia tidak kisah dengan pandangan terhadap perkara tersebut kerana apa yang paling penting dirinya selesa memandangkan perlu banyak pergerakan di pentas.

Datuk Seri Siti Nurhaliza

Artikel Lain