suria

Belum tetapkan tarikh nikah, majlis resepsi Fasha dan Aidil jemput 5,000 tetamu

Fasha Sandha dan Aidil bakal berkahwin dalam masa terdekat. FOTO TV3

PELAKON Fasha Sandha dan tunangannya yang juga pelakon Aidil Aziz memberitahu mereka masih belum menetapkan tarikh untuk melangsungkan majlis pernikahan.

Aidil, 32, berkata, perkara itu disebabkan perlu membuat beberapa persiapan penting untuk majlis istimewa itu.

"Buat masa sekarang ni, memang kami tak ada lagi tarikh untuk majlis pernikahan dan resepsi sebelah pihak perempuan yang akan diadakan di Perlis,

"Ada beberapa persiapan yang belum disiapkan untuk majlis itu," kata Aidil kepada mStar Online.

ARTIKEL BERKAITAN: Aidil Aziz, Fasha Sandha selamat bertunang dalam satu majlis sederhana


Fasha dan Aidil bertunang pada 18 November lalu.

Bagaimanapun, Aidil berkata, majlis resepsi sebelah lelaki akan diadakan pada 6 April depan di Rembau, Negeri Sembilan.

Menurut Aidil, dia teruja dapat mengadakan majlis di kampung halaman dan telah menjemput seramai 5000 tetamu untuk memeriahkan serta meraikan hari bahagianya.

"Tapi untuk majlis resepsi di pihak saya pula sudah ada tarikh iaitu 6 April depan dan majlis itu akan diadakan di kampung halaman di Rembau, Negeri Sembilan.

"Memang teruja dan tak sabar sebab majlis di kampung ni sudah tentu akan meriah. Tambahan pula saya sudah menjemput 5000 tetamu,” ujarnya.

Fasha Sandha masih buat persiapan. FOTO TV3

Aidil dan Fasha ditemui ketika sesi uji bakat Siri Jelajah Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019) di Sri Pentas, Petaling Jaya pada Ahad.

Dalam pada itu, Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 35, memberitahu dia seorang cerewet dan mahukan semua persiapan berjalan dengan lancar dan sempurna.

"Saya ni sangat cerewet sebab tu persiapan majlis pernikahan dan resepsi di Perlis masih lagi dilakukan. Saya mahukan semuanya berjalan dengan lancar dan sempurna.

"Sebagai contoh, saya mahu pilih makanan untuk dijamu nanti yang paling sedap. Mungkin orang lain tak penting kan pasal makanan tapi bagi saya itu sangat penting.

"Sebab tu saya masih ulang-alik ke Perlis untuk memastikan pemilihan dengan betul. Tapi untuk majlis pernikahan nanti hanya untuk keluarga sahaja,” ujarnya.

Pasangan itu mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis tertutup pada 18 November tahun lalu.

Fasha sebelum ini pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli pada 27 April 2012 namun mereka bercerai pada 20 Januari 2016.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Putra Rayfal Ramli, 5 dan Putri Raysha Jemaima, 4 tahun.

Fasha Sandha, Aidil

Artikel Lain