PELAKON Mawar Rashid memberitahu dia tidak malu untuk mengakui dirinya tidak lancar dalam membaca Al-Quran. Mawar atau Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 24, berkata dia akan meneruskan kelas mengaji dan agama untuk menambahkan ilmu pengetahuan sampai bila-bila. "Insya-Allah akan kekalkan kelas mengaji atau kelas apa-apa demi menambahkan ilmu pengetahuan agama sampai bila-bila pun tak apa. Itu hajatnya la. "Kita perlu ada impian yang besarkan?. Sebelum ni Mawar memang boleh baca Al-Quran, jangan salah faham ya tapi tak beberapa lancar. "Mawar tak malu untuk kongsi sebab Mawar sedar ni kekurangan Mawar. Buat apa kalau kita nak bangga dengan benda yang kita tak pandai dan tak ada kan?" katanya. Mawar mula memasuki kelas mengaji. Isteri kepada Raf Yaakob ini turut memuat naik foto bersama guru mengajinya iaitu Nad yang juga sama-sama sedang hamil di laman sosial. Menurut Mawar, dia sudah berniat untuk belajar semula mengaji sebelum hamil namun tidak berkesempatan memandangkan urusan kerja terlalu padat. "Sepanjang Mawar hamil ni, Nad ni la jadi guru mengaji Mawar, lepas belajar 'iqra', kami sama-sama baca Al-Quran untuk bayi kami. "Memang niat Mawar sebelum hamil lagi nak belajar balik untuk mengaji dengan lancar, agar Mawar lebih dengan Al-Quran. Tapi Mawar tak sempat lagi menguruskan masa Mawar atas urusan kerja yang terlalu padat. "Jadi Mawar ambil kesempatan waktu tengah mengandung ni untuk memulakan kelas mengaji yang telah lama ada dalam niat hati Mawar," katanya. Mawar dan Raf bakal menimang cahaya mata pertama. Dalam pada itu, Mawar menyasarkan untuk belajar sehingga mampu membaca Al-Quran dengan lancar dan menghayati setiap maksud ayat yang dibaca. Menurutnya, dia berkongsi perkara ini untuk memberi semangat kepada orang lain yang masih belum terlambat untuk memulakan sesuatu yang baik. "Mawar punya sasaran belajar sampai dapat baca Al-Quran dengan lancar dan dapat menghayati ayat-ayat yang Mawar baca. "Insya-Allah. Mawar kongsi ni agar dapat memberi semangat kat orang luar sana yang kita tidak pernah terlambat untuk memulakan sesuatu yang baik. "Mawar doakan agar kita semua sentiasa istiqamah (berterusan) hingga ke akhir hayat," ujarnya. Mawar yang berkahwin dengan Raf pada 9 November 2017 itu bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi.