suria

Erma Fatima harap Citra tidak minat berlakon

Erma sentiasa menyokong minat anaknya.

PENGARAH dan pelakon Erma Fatima memberitahu anak angkatnya iaitu Citra lebih berminat dan cenderung dalam bidang seni kreatif.

Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 51, berkata dia sebolehnya berharap anak perempuannya itu tidak menceburi bidang lakonan mahupun terlibat dalam industri seni.

"Citra tidak pernah luahkan untuk menjadi artis dan saya harap dia tidak berminat dalam bidang lakonan atau mahu terlibat dalam industri seni.

"Tapi saya melihat dia memang sangat berminat dalam bidang keseniaan. Dia suka menjahit hiasan di baju dan tudung.

"Citra ingin membuka perniagaan sendiri dalam bidang tersebut. Saya sentiasa menyokong minat dia tapi bila besar, dia kena berdikari," katanya kepada mStar Online.


Citra lebih berminat dalam bidang seni kreatif.

Erma ditemui ketika sesi uji bakat siri jelajah Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019) di Sri Pentas, Petaling Jaya pada Sabtu.

Citra adalah anak istimewa yang mempunyai masalah kerosakan dalam otak ketika dalam perut ibu kandungnya akibat pengambilan ubat.

Selain Citra, 17, Erma memiliki  empat anak angkat lain  iaitu Syamil Ikhwan, 25, Ahmad Arir, 23, Ahmad Aifin, 21, dan Nurain, 12.

Dalam pada itu, Erma menganggap hanya 10 peratus sahaja pelakon tempatan yang mempunyai bakat dan berpotensi dan manakala selebihnya hanya sekadar 'pasu bunga'.

Menurut kakak kepada pelakon Datin Seri Umie Aida ini, ada segelintir mereka yang mengelar diri sebagai pelakon hanya merosakkan industri dengan gosip negatif.

Erma salah seorang juri uji bakat lakonan DFKL2019.

"Bagi saya, hanya 10 peratus sahaja pelakon di Malaysia yang betul-betul mempunyai bakat dan berpotensi untuk berjaya dalam industri lakonan.

"Yang lain itu, hanya menjadi 'pasu bunga' sekadar jadi hiasan skrin televisyen dan kadang-kadang 'menyemak' serta merosakkan industri dengan gosip.

"Sebenarnya bila ada bakat dan kemudian diasah, pelakon ini boleh pergi jauh. Kalau masuk sekadar jadi lalang yang akan mati sendiri tanpa perlu dibunuh, buat apa," katanya.

Erma adalah salah seorang juri untuk uji bakat lakonan pada siri jelajah DFKL2019 yang bermula sejak 1 Mac lalu sehingga 17 Mac depan.

Erma Fatima

Artikel Lain