PELAKON Aeril Zafrel memberitahu sepanjang tujuh tahun mendirikan rumah tangga dengan aktres Wawa Zainal mereka belum pernah mengalami pergaduhan besar. Justeru, Aeril berkata, dia tidak mampu mengulas tindakan segelintir pasangan yang memuat naik masalah keluarga di laman sosial masing-masing. "Alhamdulillah sepanjang tujuh tahun kami jadi suami-isteri, tidak pernah bergaduh besar sehingga sampai berkongsi di media sosial. Gaduh-gaduh kecil itu biasalah. "Entahlah, saya tidak tahu sama ada Wawa akan bertindak begitu atau tidak. Perempuan jiwanya lain," ujarnya kepada mStar Online. Aeril ditemui pada majlis pelancaran kempen pemeriksaan kesihatan gusi gumbatte 2019 di One Utama pada Khamis. Aeril dan Wawa tak setuju kongsi masalah rumah tangga di media sosial. Bagaimanapun, Aeril berkata, dia tidak bersetuju jika laman sosial dijadikan tempat berkongsi hal peribadi terutama berkaitan rumah tangga. "Kami mungkin tidak berada di tempat mereka. Tapi kalau boleh elakkan daripada berkongsi di media sosial kerana ia boleh menjadi bukti di mahkamah," ujarnya. Dalam pada itu, Aeril yang sering berkongsi kebahagian rumah tangga di media sosial miliknya berkata, ia adalah perkara yang dilakukan oleh pasangan lain. Katanya, dia juga gembira jika netizen mengambil perkara tersebut sebagai inspirasi kepada keluarga mereka. "Kami seperti pasangan suami isteri lain, cuma bila kami selebriti yang lebih mendapat perhatian. "Kalau netizen jadikan contoh inspirasi apa salah jika ia baik untuk mereka," ujarnya. Aeril dan Wawa berkahwin pada 2013 dan dikurniakan dua anak, Ahmad Fakhruddin Attar, 6, dan Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 4. Sementara itu, mengenai majlis berkenaan, Aeril dan Wawa dilantik sebagai duta untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan untuk menjaga kebersihan gusi dan gigi.