PELANTIKAN pengarah dan penerbit filem Ahmad Idham Ahmad Nadri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mendapat reaksi pelbagai pihak. Walaupun terdapat suara-suara yang kurang senang dengan pelantikan itu namun penggiat seni memberi harapan tinggi agar Idham mampu melaksanakan tanggungjwab dipikul itu sejajar dengan kelantangannya selama ini dalam mengkritik sesuatu. Penerbit filem, Datuk Yusof Haslam beranggapan pemilihan Ahmad Idham mengetuai Finas adalah tepat. ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah filem Ahmad Idham dilantik CEO Finas ARTIKEL BERKAITAN: “Kita perlukan pemerintah yang gagal, baru boleh tibai” - Nam Ron ulas pelantikan Ahmad Idham CEO Finas Bagi Yusof, Ahmad Idham perlu tabah memikul tanggungjawab yang besar dan beliau mengharapkan pengarah itu melakukan tugas dengan baik. "Alhamdulillah, saya rasa bangga ada anak seni yang terlibat dalam industri akhirnya berjaya menduduki kerusi panas tu. Tahniah saya ucapkan kepada Ahmad Idham. Ahmad Idham memulakan tugas sebagai CEO Finas baharu pada Isnin. "Bagi saya, Ahmad Idham adalah pilihan yang tepat sebab dia memahami dan melalui proses pemasalahan yang berlaku dalam industri filem. "Saya harap dia tabah dengan tomohan atau kritikan selepas ni sebab dah pikul satu tanggungjawab yang besar," katanya kepada mStar Online. Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan pada Khamis mengumumkan Ahmad Idham sebagai CEO baharu Finas berkuatkuasa pada Isnin lalu. Pelantikan itu secara kontrak bagi tempoh dua tahun. Presiden, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi pula menganggap pelantikan Ahmad Idham merupakan hari kebanggaan buat industri seni. Kata Zed Zaidi, beri peluang dan ruang kepada Ahmad Idham untuk menjalankan tanggungjawab sebagai CEO baharu dan dia akan menegur sekiranya pengarah itu ada melakukan kesalahan sepanjang dua tahun bertugas. Zed Zaidi (kiri) dan Yusof Haslam "Bagi saya, hari ni adalah hari kebanggaan buat industri seni apabila Ahmad Idham menjadi satu-satunya anak seni yang mengetuai Finas. "Beri dia ruang dan peluang untuk membuktikan kredibiliti dia untuk melakukan tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu. "Tapi sekiranya dia ada melakukan kesalahan di masa hadapan sudah pasti akan ada teguran dan saya berharap dia akan lebih memahami dan sensitif dengan isu pemasalahan dalam industri," katanya. Menurut Presiden Institut Kesenian dan Kajian Media Malaysia, Dr Mahadi J. Murat, Ahmad Idham mempunyai tanggungjawab untuk membuktikan penggiat seni boleh mencapai matlamat Finas. "Finas perlukan perancangan dan pelaksanaan serta pelan tindakan filem nasional yang baru sesuai dengan matlamat Malaysia Baharu. Mahadi J. Murat dan Tengku Khalidah. "Sebagai CEO baharu, Ahmad Idham mempunyai tanggungjawab untuk membuktikan bahawa pengamal industri boleh menjayakan matlamat Finas. Inilah kali pertama 'orang filem' dilantik mengetuai pengurusan Finas. "Kena buktikan. Kalau tidak, anggapan bahawa Finas selama ini tidak berjaya kerana dipimpin oleh bukan kalangan orang Filem adalah tidak benar. Dan tentunya ini memalukan," katanya. Dalam pada itu, Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) yang mewakili kelompok wartawan hiburan di negara ini, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin berharap pelantikan 'orang muda' itu dapat membawa Finas keluar daripada kemelut yang tiada kesudahan. "Sesiapa juga yang dilantik untuk menduduki kerusi kepimpinan Finas akan berhadapan dengan kritikan hebat, pendek kata akan diperhatikan 24 jam sehari. "Ahmad Idham juga pasti tidak akan lari daripada kritikan banyak orang, terutamanya pemain industri sendiri. "Apa sekalipun keadaannya, seluruh industri berharap dengan perlantikan 'orang muda' ini akan membawa Finas keluar dari kemelut yang tidak berkesudahan semenjak beberapa tahun kebelakangan ini," ujarnya.