suria

'Jaga Dia Untukku' undang sebak, Siti imbau insiden Datuk K kemalangan di New Zealand

Lagu Jagakan Dia nyanyian Siti Nurhaliza pada konsert jelajahnya di Axiata Arena undang sebak dalam kalangan penonton. Foto SHAARI CHE MAT

LAGU Jaga Dia Untukku nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza pada konsert Siti Nurhaliza On Tour 2019 undang sebak lebih 10,000 penonton yang hadir di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Sabtu.

Sebelum menyanyikan lagu tersebut, Siti sempat mengimbau pengalaman menjaga suami, Datuk Seri Khalid Muhamad Jiwa yang mengalami kemalangan motosikal di New Zealand pada tahun 2013.

Siti berkata, ia merupakan peristiwa yang memberi kesan mendalam buat dirinya sehingga ia diabadikan dalam lirik Jaga Dia Untukku.

“Lagu ini digubah berdasarkan kejadian sebenar iaitu insiden yang berlaku kepada suami beberapa tahun lalu dan ia memberi kesan mendalam kepada saya.

“Disebabkan kejadian itu, empat bulan saya berhenti nyanyi untuk menjaga suami yang kemalangan motosikal di New Zealand.

“Saya jaga dia sehingga sihat... Peristiwa itu sangat istimewa pada saya,” ujarnya.

Memukau... Persembahan seleksi lagu tradisional mendapat sambutan hebat penonton. 

Pada konsert penutup jelajahnya itu, Siti menghiburkan peminat selama dua jam setengah menerusi 22 buah lagu terbaiknya yang turut dinyanyikan oleh penonton yang hadir.

Dalam pada itu, Siti turut meluahkan rasa simpati dan meminta semua penonton bertafakur bagi mengenang semua mangsa kejadian pencemaran sisa toksik di Pasir Gudang, Johor dan tragedi keganasan di Christchurch, New Zealand.

Siti kemudiannya memulakan segmen pertama konsert itu dengan seleksi lagu-lagu tradisional ciptaan komposer terkenal Datuk Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah sebagai tribute kepada Allahyarham.

Antara lagu tradisional ciptaan Pak Ngah yang dinyanyikan ialah Badarsila, Joget Berhibur, Joget Kasih Tak Sudah, Nirmala, Balkis, Hati Kama dan Cindai.

Segmen seterusnya, Siti mengimbau pula perjalanannya ketika memulakan langkah ke industri muzik dengan bantuan komposer Allahyarham Adnan Abu Hassan.

Menurutnya, Allahyarham antara individu yang banyak membantu pada awal kerjayanya termasuk pernah menumpangkannya di rumah setiap kali dia mempunyai aktiviti seni di Kuala Lumpur.

“Arwah datang ke kampung saya Kuala Lipis dan meminta kebenaran daripada Allahyarham bapa saya untuk membawa saya menjadi penyanyi rakaman.

“Bermula daripada situ, Allahyarham memberi saya tumpang di rumahnya setiap kali saya datang dan ada kerja di Kuala Lumpur,” ujarnya.

Siti menghiburkan peminat selama dua jam.

Pada segmen itu, Siti menyanyikan lagu hitnya berjudul Jawapan Di Persimpangan, Jerat Percintaan dan Wajah Kekasih.

Selain itu, Siti turut menyampaikan beberapa buah lagu daripada album Transkripsi khas buat peminat setianya secara medley.

Axiata Arena bertukar gamat apabila Siti tampil dengan segmen Unplugged untuk menyanyikan barisan lagu popular dan kegemaran peminat seperti Si Comel Pipi Merah, Percayalah, Bukan Cinta Biasa, Aku Cinta Padamu dan Purnama Merindu.

Siti Nurhaliza On Tour 2019 turut diserikan dengan penampilan dua penyanyi undangan iaitu Tulus dan Yura Yanita dari Indonesia manakala pendatang baharu, Natasya Saas tampil pada segmen pembukaan konsert itu menerusi dua buah lagu.

Konsert itu turut dihadiri oleh beberapa artis terkenal tanah air seperti Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Khai Bahar, Lan Solo, Siti Elizad dan Jihan Muse.

Sebelum Axiata Arena Kuala Lumpur, Siti telah menjayakan konsert jelajahnya di Indonesia dan Singapura.

Artikel Lain