suria

Betty Banafee masih lagi dalam tempoh percubaan berhijab

Betty ditemui pada program artis beramah mesra bersama Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM).

PELAKON Betty Banafee menjelaskan dia masih dalam tempoh percubaan dengan imej bertudung semenjak beberapa bulan ini.

Betty atau Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe, 39, berkata, adalah penting baginya untuk melaksanakan kewajipan lain terlebih dahulu sementara berusaha dengan imej bertudungnya.

"Saya utamakan kewajipan lain seperti menjaga solat, berzakat terlebih dahulu dan InsyaAllah, doakanlah agar hati saya kuat untuk kekal bertudung dan semoga dipermudahkan segalanya untuk Betty menjadi lebih baik," ujarnya.

Betty ditemui ketika program beramah mesra bersama kanak-kanak sindrom down bersempena menyambut Hari Sindrom Down Sedunia di Rumah Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM), lingkungan U Thant, Kuala Lumpur pada Rabu.

Pelakon ini telah mengerjakan ibadah haji pada tahun lalu.


Anak-anak Sindrom Down bersama-sama artis tempatan.

Dalam pada itu, Betty juga akan bersama-sama dengan artis-artis lain berusaha menjayakan laman web 'jom sedekah' iaitu salah satu platform amal jariah untuk membantu PSDM.

"Saya mewakili 'jomsedekah.com' menggunakan platform sedekah online jariah artis untuk membantu PSDM mencapai target mereka membangunkan bangunan demi anak-anak ini.

"PSDM antara komuniti yang kurang mendapat perhatian masyarakat dan kebanyakkan orang tidak tahu tentang sindrom down ini," tambahnya.

Selain itu, pelakon dari Johor ini juga bakal menjayakan Fesyen Vaganza Amal 2019 bersempena sambutan ulang tahun ke 18 PSDM yang bakal berlangsung di Dewan Besar Manhattan, Berjaya Hotel pada 20 April depan.

Fesyen Vaganza Amal ini juga bakal mempersembahkan 60 rekaan daripada pereka fesyen terkenal seperti Anas Abdullah oleh 30 selebriti dan 30 kanak-kanak sindrom down.

betty banafee, sindrom down

Artikel Lain