PENYANYI yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Yuna mengumumkan bahawa dia terpaksa menunda sekali lagi konsert Yuna European Tour 2019 yang sepatutnya bermula dari 26 Mac hingga 1 April depan. Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai berkata, keputusan berat itu disebabkan perlu menyiapkan proses akhir album baharunya yang akan dilancarkan pada musim panas tidak lama lagi. "Saya dengan rasa kesal membuat pengumuman bahawa kami terpaksa menunda jelajah Eropah sekali lagi. "Ia adalah keputusan yang sangat sukar kerana saya mahu ke Eropah untuk bertemu peminat saya tapi saya perlu menyiapkan album yang akan dilancarkan pada musim panas ini," ujarnya di Instagram. Yuna tunda konsert jelajah Eropah. Penyanyi lagu Terukir Di Bintang ini, dijadualkan memulakan konsert pertama pada 26 Mac depan di London, diikuti dengan Amsterdam, Brussels, Lausanne, dan Berlin pada 1 April. Yuna berkata, ia merupakan pembikinan album paling sukar berikutan dia mahukan yang terbaik untuk album berkenaan. "Ini merupakan pembikinan album yang paling sukar. Saya mahu album itu sempurna dan saya tidak sabar untuk berkongsi dengan anda," ujarnya. Dalam pada itu, Yuna berkata, peminatnya yang sudah membeli tiket akan dihubungi oleh pihak yang bertanggungjawab. Yuna juga mengucapkan terima kasih dan berjanji untuk meneruskan rancangan konsert jelajah tersebut dengan lagu-lagu baharunya. "Saya minta maaf atau kesulitan tapi saya berjanji untuk membuat yang terbaik dan akan datang ke Eropah dengan muzik baru, semangat dan persembhaan terbaik untuk anda," ujarnya.