suria

Dihujani tawaran syarikat pengurusan artis... Eyra Hazali tetap pilih ibu sendiri

Eyra Hazali lebih selesa kerjaya seninya diuruskan sendiri oleh ibunya, Qhuzie Johari.

PELAKON Eyra Hazali memberitahu tidak berminat untuk bernaung di bawah mana-mana syarikat pengurusan artis walaupun mendapat banyak tawaran untuk menguruskan karier seninya.

Eyra berkata, dia lebih selesa kerjaya diuruskan oleh ibunya sendiri, Qhuzie Johari kerana wanita itu lebih memahami dirinya berbanding orang lain.

"Pernah saya merajuk dengan ibu apabila mendapat tahu dia bertemu dengan pihak syarikat pengurusan yang berminat untuk menguruskan kerjaya saya.

"Saya tanya ibu adakah dia sudah tidak mahu lagi menjaga saya? Tetapi katanya dia hanya ingin bertemu dan mendengar dahulu tawaran dibuat.

"Jujurnya saya lebih selesa karier saya dijaga oleh ibu sendiri kerana dia lebih memahami saya sebagai seorang anak selain dengan kehadirannya saya lebih berdisiplin sebab dia sebenarnya seorang yang tegas," katanya kepada mStar Online.


Qhuzie memberitahu seorang yang tegas apabila berkaitan dengan anaknya itu. 

ARTIKEL BERKAITAN: Eyra Hazali buat keputusan bertudung, tak mahu bapa ke neraka

Eyra ditemui ketika menghadiri program uji bakat Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL2019) yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini.

Lebih 300 yang hadir bagi sesi uji bakat itu dan Eyra bertindak sebagai artis jemputan membantu peserta dengan persembahan pentas mereka.

Bercakap mengenai perkembangannya selepas menutup aurat, Eyra berkata, dia bersyukur penghijrahannya itu diterima baik oleh ahli keluarga serta peminat.

Malah kariernya juga dilihat semakin meningkat walaupun ada mengatakan kerjayanya akan berakhir apabila memakai tudung.

"Seperti saya katakan sebelum ini, rezeki itu tidak akan pernah salah alamat sekiranya kita usaha dan tawakal.

Eyra semakin selesa dengan imej terbaharunya. 

"Alhamdulillah sejak memakai tudung karier seni berjalan seperti biasa malah tawaran juga semakin mencurah-curah kerana banyak sebenarnya drama yang tampil dengan watak bertudung... Jadi ia bukan lagi satu kekangan," ujarnya.

Malah Eyra turut berterima kasih kepada pengarah Nur 2 iaitu Shahrulezad yang sanggup merakamkan kembali dua babak dalam drama itu yang sudah siap sebelum dia membuat keputusan bertudung.

"Ada babak dalam Nur 2 yang sudah saya rakamkan ketika tidak memakai tudung dan apabila saya tampil berhijab sepenuhnya pengarah tanya sama ada saya mahu rakam semula babak tersebut.

"Terkejut juga saya apabila pengarah memberi tawaran itu dan Alhamdulillah saya sudah rakam semula babak tersebut," katanya.

Eyra Hazali

Artikel Lain