suria

'Sedekad' dedah semua rahsia Remy Ishak termasuk masalah kemurungan

Remy Ishak akan melancarkan buku biografi tentang kehidupannya sebagai selebriti berjudul Sedekad pada April ini.

AKTOR Remy Ishak bakal melancarkan buku biografi tentang perjalanan sepanjang 10 tahun bergelar anak seni menerusi buku berjudul Sedekad.

Remy berkata, buku yang bakal dilancarkan pada April itu akan mendedahkan pelbagai kisah hidupnya sebagai anak seni yang tidak diketahui masyarakat termasuk pernah berhadapan dengan masalah kemurungan.

"Dalam buku itu nanti saya akan dedahkan dan jelaskan semuanya kepada pembaca tentang perjalanan hidup saya sebagai anak seni dalam sejak saya mula aktif pada 2009.

"Saya akan bercakap tentang siapa diri saya, masalah dan kesusahan yang pernah saya alami... Jatuh bangun saya serta masalah kemurungan yang pernah dihadapi sebelum ini.

Remy akan berkongsi mengenai masalah kemurungan yang dihadapinya dalam Sedekad. 

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya belum mampu…” - Remy Ishak putus tunang!

ARTIKEL BERKAITAN: “Semua yang berlaku atas sebab tertentu” - Bekas tunang Remy Ishak buka buku baharu

"Menerusi buku itu nanti pembaca boleh mengenali dan menilai tentang diri saya," katanya kepada mStar Online.

Remy ditemui pada pelancaran minuman jenama Origina yang memperlihatkan pelantikan pelakon itu sebagai rakan kerjasama pemasaran dan promosi produk keluaran tempatan itu.

Pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu bagaimanapun memberitahu dia tidak akan membincangkan tentang kisah cintan termasuk perpisahannya dengan tunangnya, Ezza Yusof dalam buku berkenaan.

Remy berkata, dia merasakan tiada sebarang keperluan untuk memasukkan kisah cintanya kerana tidak mahu melibatkan pihak lain dalam buku tersebut.

Remy bertindak sebagai rakan kerjasama produk Origina. 

"Pada saya tidak perlu untuk bercakap tentang cinta kerana saya tidak mahu melibatkan pihak lain memandangkan keputusan menerbitkan buku tersebut kerana ingin bercerita tentang diri sendiri dan bukannya orang lain," ujarnya.

Bercakap mengenai kerjasamanya dengan Origina, Remy berkata, penglibatannya itu bukan sahaja sebagai duta tetapi juga akan aktif mempromosikan produk keluaran tempatan itu.

Malah kata Remy, dia akan menubuhkan pasukannya sendiri iaitu #teamoriginakanda yang dipimpinnya dalam usaha merekrut ejen bagi mengembangkan produk itu.

Dalam perkembangan lain, Remy berkata, dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri berjudul Imman bergandingan dengan Nora Danish untuk siaran Astro pada Ramadan nanti.

Selain itu, Remy juga sedang menantikan dua buah filem lakonannya iaitu Sangkar dan BU masuk pawagam tidak lama lagi.

Remy Ishak

Artikel Lain