suria

Selepas 20 tahun baharulah ada kelab peminat - Ruffedge

Kumpulan Ruffedge kini mempunyai kelab peminat yang dikenali sebagai Kelab Sahabat Ruffedge. Foto AZMAN GHANI

KUMPULAN R&B Ruffedge tidak akan mensia-siakan usaha peminat mereka yang menubuhkan kelab peminat dikenali sebagai Kelab Sahabat Ruffedge selepas 20 tahun grup itu ditubuhkan.

Salah seorang anggotanya, Sein memberitahu penubuhan kelab itu juga adalah bukti Ruffedge masih mempunyai pengikut yang ramai walaupun mereka sudah lama menyepi sebelum membuat kemunculan semula tahun lalu.

"Jujurnya kami sendiri terkejut apabila komuniti kelab ini datang bertemu kami memberitahu idea untuk menubuhkan Kelab Sahabat Ruffedge kerana sebelum ini kami tidak pernah ada kelab peminat.

Ruffedge bersama peminat yang bertungkus lumus dalam penubuhan Kelab Sahabat Ruffedge. 

"Apabila mendengar penjelasan dan tujuan mereka kami bersetuju kerana kagum dengan kesungguhan mereka dalam usaha mengeratkan kami dengan peminat.

"Malah mereka beritahu menyesal tidak menubuhkan kelab ini awal-awal dahulu dan tidak mahu mengulangi kesilapan sama," katanya kepada mStar Online.

Ruffedge ditemui pada pelancaran Kelab Sahabat Ruffedge yang diadakan di Avenue K, Kuala Lumpur pada Ahad.

Selain Sein, kumpulan itu turut dianggotai oleh Cat Farish, Zain Hamid, Azan Addin, Amir Munawer dan Mode.

Ruffedge menghiburkan peminat yang hadir.

Dalam pada itu, Mode berkata, selain merapatkan silaturahim mereka juga mahu mengambil kesempatan penubuhan kelab itu untuk bergiat aktif dalam mengadakan aktiviti melibatkan komuniti dan kebajikan.

Katanya, mereka mahu Kelab Sahabat Ruffedge mempunyai matlamat terutamanya dalam memberi balik kepada masyarakat dan bukan sekadar di antara peminat dan artis.

"Insya-Allah Ruffedge bersama pengurusan akan cuba mengadakan pelbagai aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan bukan hanya memberi fokus kepada hubungan artis dan peminat sahaja.

Ruffedge bakal mengadakan persembahan pada Konsert KL Jamm April ini. 

"Kami ada merancang untuk buat pelbagai aktiviti berbentuk komuniti serta kebajikan sekaligus membuatkan penubuhan kelab ini mempunyai objektif berbeza dan bermanfaat," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mode memberitahu Ruffedge bakal mengadakan persembahan pada Konsert KL Jamm yang bakal berlangsung pada 28 April depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Selain itu mereka juga sedang giat mempromosikan single terbaharu mereka yang berjudul Seperti Mereka.

Artikel Lain