PELAKON dan pengacara Che Puan Sarimah Ibrahim memberitahu sejak mengumumkan dirinya sedang mengandung anak pertama dia banyak menerima pertanyaan tentang kaedah terbaik untuk hamil pada usia selepas 35 tahun. Ramai menyangka dia berjaya hamil pada usia 41 tahun menerusi kaedah persenyawaan in vitro (IVF), Sarimah berkata, dia mengandung secara semulajadi namun menitikberatkan soal penjagaan pemakanan, bersenam selain kerap melakukan pemeriksaan dalaman. "Ramai wanita bertanya kepada saya macam mana cara terbaik untuk hamil terutamanya selepas berusia 35 tahun dan kami melakukannya secara semulajadi. ARTIKEL BERKAITAN: Sarimah Ibrahim tak menyangka bakal dapat anak pada usia 41 tahun Sarimah berkongsi cara terbaik untuk hamil selepas berusia 35 tahun. "Makan secara sihat, bersenam, buat pemeriksaan terhadap diri sendiri dan suami... Cuba mengelakkan masalah kesihatan yang membabitkan dalaman kita selain elak tekanan seperti persekitaran berasap," katanya. Sarimah yang kini sedang hamil hampir lima bulan itu berkongsi perkara tersebut menerusi laman Instastory pada Sabtu. Dalam pada itu, Sarimah berpandangan, seorang wanita itu tidak perlu terburu-buru untuk melakukan IVF sekiranya belum mencuba semua cara dikongsinya. "Paling penting kekalkan pemikiran positif... Nasihat saya, jangan terburu-buru but IVF kalau awak belum cuba buat semua cara semula jadi," katanya. Sarimah dan suami teruja bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi. Selepas empat tahun mendirikan rumah tangga dengan kerabat Negeri Sembilan, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar, Sarimah mengumumkan dirinya sedang hamil anak pertama pada 1 Februari lalu. Dalam pada itu, Sarimah menjelaskan pengkongsiannya itu merupakan perjalanan hidupnya secara peribadi dan Allah lebih mengetahui bila masa yang sesuai untuk seseorang itu diberikan rezeki zuriat. "Itulah perjalanan peribadi saya. Kita semua ada jalan sendiri. Dan Allah lebih mengetahui bila masa yang sesuai," ujarnya. Sarimah dan Tunku Nadzimuddin, 47, berkahwin pada 2 April 2015 dan berita kehamilannya itu membuatkan suaminya benar-benar teruja.