PELAKON Che Puan Juliana Evans menjelaskan dia memilih untuk tidak berkongsi berita mengenai kehamilannya lebih awal selepas mendapat nasihat untuk tidak berbuat demikian. Juliana, 29, berkata, ini kerana pada peringkat awal kehamilan pelbagai perkara boleh terjadi selain menunggu waktu sesuai untuk mengumumkan berita gembira itu kepada umum. "Saya dapat nasihat untuk tidak mendedahkan mengenai kehamilan terutamanya ketika tiga bulan pertama kandungan. "Bukan apa, dalam tempoh itu apa sahaja boleh berlaku selain saya merasakan masanya belum sesuai. Alhamdulillah sekarang baru saya bersedia dan yakin untuk berkongsi berita gembira ini dengan semua peminat," katanya kepada mStar Online. ARTIKEL BERKAITAN: Dalam diam, rupa-rupanya lagi tiga bulan Juliana Evans bakal bergelar ibu! Juliana dan suami bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi. Juliana ditemui ketika menghadiri malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada malam Sabtu. Terdahulu pelakon filem Bella & Jamie ini membuat kejutan apabila mengumumkan dia dan suami, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah Al-Hajj bakal menimang cahaya mata pertama Jumaat lalu. Kandungan Juliana kini sudah pun memasuki usia lima bulan. Bercakap lanjut mengenai pengalaman mengandung, Juliana memberitahu dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang alahan teruk terutamanya pada awal kehamilan. Juliana idam cahaya mata perempuan. "Alhamdulillah, kesihatan saya baik sangat. Bulan pertama dan kedua sahaja yang tak berapa sihat tapi selepas itu okey sahaja. "Saya sangat gembira sebab kehamilan saya ini agak senang juga... Sebab saya tak mengalami alahan teruk sangat. Beruntung juga suami saya," ujarnya. Dalam pada itu, Juliana berkata, dia berharap mereka dikurniakan cahaya mata perempuan memandangkan keluarganya dan suami mempunyai ramai saudara lelaki. "Kalau boleh nak anak perempuan. Sebab keluarga belah saya dan suami ramai saudara lelaki. Jadi, kalau dapat anak perempuan tu Alhamdulillah," katanya. Juliana atau Juliana Sophie Johari Evans dan Tengku Shariffuddin, 31, mendirikan rumah tangga pada 30 April 2017.