PELAKON Sweet Qismina berkongsi petua untuk menghilangkan perasaan rindu terhadap insan tersayang yang sudah pergi buat selama-lamanya. Menurut Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina, 22, dia sentiasa membaca Al-Fatihah setiap kali merindui arwah bapa dan kakaknya sebelum tidur. Tambah Sweet lagi, dia akan melakukan perkara yang sama jika timbul perasaan kurang senang hingga menjejaskan fokusnya untuk bekerja. "Saya tak berapa pasti (cara terbaik hilangkan rasa rindu). Tapi kalau saya, setiap kali rindukan arwah baba (bapa) dan kakak, saya selalu baca Al-Fatihah dan sedekahkan pahala kepada mereka terutama sebelum tidur. ARTIKEL BERKAITAN: Sweet Qismina terbayang arwah kakak ketika Elfira Loy nikah Sweet sentiasa membaca Al-Fatihah buat arwah bapa dan kakaknya. "Selalunya hati saya akan rasa lagi tenang dan rasa lega sikit. Kalau waktu kerja tiba-tiba rasa rindu pun saya akan buat benda sama. "Alhamdulillah saya boleh sambung fokus buat kerja dengan lebih tenang. Awak boleh cuba pada orang yang masih ada," katanya. Pelakon drama Cinta Tiada Ganti itu berkongsi kaedah yang dilakukannya itu ketika menjawab salah satu soalan daripada peminatnya di Instastory. Sweet kehilangan kakaknya iaitu Pearl atau nama sebenar Farhanna Qistina pagi 1 Syawal pada 18 Jun 2015. Arwah kakaknya meninggal dunia selepas Proton Perdana dinaiki dia sekeluarga dilanggar dari belakang oleh kereta jenis BMW. Foto kenangan Arwah kakak Sweet iaitu Pearl (kanan). Dalam pada itu, Sweet memberitahu ada waktunya dia memohon kepada Allah untuk membiarkan orang yang dirindui mempunyai perasaan yang sama. Kata Sweet, hati seseorang itu akan berasa lega selepas meluahkan semuanya kepada Allah. "Atau kadang-kadang saya doa dan mohon kepada Allah biar orang yang kita rindu pun akan rasa benda sama. "Doa supaya dia kat sana sentiasa sihat, minta kurangkan rasa rindu sikit biar boleh fokus buat kerja dan banyak lagi la. "Luahkan pada Allah, awak akan rasa sangat lega," ujarnya.