PENYANYI Zetty Rashid mendedahkan ada pihak cuba merosakkan hubungannya dengan teman lelakinya, Nemo yang juga vokalis kumpulan Cherpen Band. Menurut Zetty, 26, individu tersebut yang merupakan kenalannya secara tiba-tiba menghantar foto kekasihnya itu seakan sedang bercumbu dengan wanita lain kepadanya bagi membuktikan Nemo curang terhadapnya. "Saya tahu niat dia yang memang sengaja nak menghantar foto itu kepada saya. Yang saya geram, dia bukanlah kenalan rapat saya pun. "Tapi sibuk nak masuk campur urusan orang lain. Sudah la tak tahu apa-apa, kemudian sebarkan benda yang tidak sahih untuk memburukkan lagi keadaan. Zetty memuat naik paparan skrin mesej yang mendakwa kekasihnya bercium dengan wanita lain. "Sebab itu saya terpaksa muat naik paparan skrin mesej yang dihantar sebab geram dengan perangai dia seperti 'makcik bawang'," kata Zetty kepada mStar Online. Zetty diminta mengulas mengenai paparan skrin mesej yang memperlihatkan seseorang menghantar foto mendakwa kekasihnya bercium dengan wanita lain di laman sosialnya. Dalam pada itu, Zetty memberitahu dia sebenarnya sudah mengetahui berkenaan foto tersebut sejak beberapa hari lalu menerusi rakan baiknya. Kata Zetty, dia juga mengakui berlaku salah faham antaranya dengan Nemo disebabkan foto tersebut namun isu sudah diselesaikan dengan baik. Zetty dan Nemo bercinta sejak setahun lalu. "Sebenarnya saya dah tengok foto tersebut beberapa hari lalu. Ada rakan baik saya beritahu mengenai foto itu sudah tersebar. "Dan disebabkan itu juga, ada berlaku salah faham antara saya dan Nemo. Tapi kami sudah selesaikan masalah itu. "Bagi saya, lebih mudah sekiranya Nemo sendiri yang jelaskan mengenai perkara itu kepada umum," ujarnya. Anak didik penyanyi Lan Typewriter dalam program Mentor Milenia 2016 ini dan Nemo mula menjalinkan hubungan cinta sejak setahun yang lalu.