suria

“Sebelum mula saya ‘jatuh bodo’ luka lutut” - Siti Nurhaliza kongsi pengalaman berbasikal 72 km

Siti Nurhaliza kongsi pengalaman menyertai kayuhan basikal 72 kilometer di Langkawi. Foto Instagram: @ctdk.

PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi momen dia terjatuh basikal sebelum bermula acara kayuhan 72 kilometer di Langkawi pada Sabtu.

Menurut Siti, 40, biarpun lututnya cedera disebabkan terjatuh namun dia tetap semangat meneruskan kayuhan tersebut dan berjaya menamatkan dalam masa tiga jam 13 minit 30 saat.

"Yang seronok sekali pagi tadi sebelum berlepas saya dah ‘jatuh bodo’ luka la lutut. Macam mana la boleh jatuh padahal dah berhati-hati sangat.

"Tak apa tebalkan muka semangat punya fasal (sakit tau). Berlepas saja hati dah dup dap dup dap. Takut jatuh lagi, tapi Alhamdullillah, Allah pelihara sepanjang jalan.

Siti memberikan medal kayuhan basikal khas buat anaknya.

"Terima kasih sahabat saya @aiza_mokhtar yang bagi semangat suruh masuk 72 km dan habiskan. Sambil kayuh sambil istigfar, sambil bising bila nak habis ni," katanya.

Siti berkongsi perkara menarik itu menerusi laman Instagramnya selepas selesai menamatkan kayuhan RHB Langkawi Ride 2019.

Menurut Siti, banyak kenangan untuk menghabiskan kayuhan itu dan medal yang diterima diberikan khas buat anaknya Siti Aafiyah.

Penyanyi lagu Anta Permana ini memberitahu pada awalnya dia hanya ingin menyertai 25 kilometer sahaja namun mengubah fikiran disebabkan permintaan pasukannya.

Syed Saddiq turut menyertai RHB Langkawi Ride 2019.

"Alhamdullillah. Medal ni untuk anak ibu tau. Banyak kenangan nak mendapatkan dan menghabiskan kayuhan 72 km ni anak ibu oi.

"Mula-mula ibu nak masuk 25 km saja, yela... fun ride la kan. Lepas itu satu pasukan kata alang-alang dah sampai Langkawi jom kayuh sampai 72 km.

"Apa!!! Dah la tak pernah lebih 50 km. Berangan nak 72 km. Berbekalkan semangat (reda saja) dan bantuan jurulatih saya (geng @anuarmanan86 ) saya kuatkan semangat," tulisnya.

Selain Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K, Menteri Belia dan Sukan iaitu Syed Saddiq turut menyertai acara yang sama.

Siti Nurhaliza, Syed Saddiq

Artikel Lain