suria

Putus cinta, hidup sunyi punca Cakra Khan hampir nak bunuh diri

Cakra dedah berdepan pelbagai masalah kehidupan termasuk putus cinta.

PENYANYI terkenal Indonesia Cakra Khan mendedahkan pernah berdepan masalah kemurungan sehingga terfikir untuk mengambil tindakan bodoh dengan membunuh diri ketika sambutan ulang tahun kelahirannya pada 27 Februari 2018.

Cakra atau nama sebenarnya Cakra Konta Paryaman, 27, berkata dia mengambil keputusan mengatasi masalah kesunyian dan tekanan dengan bertemu pakar psikiatri.

"Saya pernah terfikir nak bunuh diri dan putus asa dengan semuanya. Masalah despresi yang saya alami ini bermula pada hari lahir saya pada Februari tahun lalu.

"Semuanya berlaku disebabkan saya mengalami tekanan hidup seperti putus cinta, masalah keluarga dan kerja. Selama setahun juga saya berhadapan dengan masalah ini.

"Saya sudah berjumpa pakar psikiatri tahun lalu dan beliau yang mengesahkan saya ada mengalami kemurungan atau despresi itu,” kata Cakra kepada mStar.


Cakra akui berat badannya turun mendadak.

Penyanyi lagu Harus Terpisah itu ditemui ketika persembahan Minggu Setiausaha AG, di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam pada itu, Cakra memberitahu sepanjang setahun dia mengurungkan diri di rumah dan hanya keluar untuk kerja sehingga menyebabkan berat badannya turun secara mendadak.

Bagaimanapun, keadaan Cakra kini semakin pulih disebabkan ibunya yang sentiasa menyokong dan memberi semangat namun masih meneruskan rawatan dengan pakar psikiatri.

"Sepanjang tahun lalu, saya hanya kurungkan diri di rumah sahaja. Kalau keluar pun hanya disebabkan kerja. Sehinggakan berat saya daripada 70 kilogram kini 57 kilogram.

"Tapi Alhamdulillah keadaan saya semakin pulih walaupun sekarang ini masih lagi meneruskan rawatan dengan pakar psikiatri  cuma sudah tidak sekerap dahulu.

"Saya kembali bersemangat disebabkan ibu saya yang sentiasa menyokong dan tidak henti beri semangat. Hanya dia seorang sahaja yang saya percaya,” ujarnya.

Cakra Khan

Artikel Lain