DEMI melepaskan kerinduan terhadap peminat setia program Suria Cinta, penyampai Suria FM, DJ Lin memaklumkan dia bakal bersiaran secara langsung dari Hospital Pakar KPJ Damansara, Petaling Jaya malam ini. Meskipun masih terlantar di katil hospital, DJ Lin berkata dia berbesar hati apabila ditawarkan peluang bersiaran selama satu jam dalam segmen tersebut. "Malam ini DJ Lin akan on air dari atas katil hospital bermula pukul 9 hingga 10 malam. Insya-Allah peminat dapat mendengarkan suara saya secara langsung dari radio dan laman Facebook kami. "Memandangkan saya bakal bercuti sakit dalam tempoh yang agak lama, jadi siaran luar ini diharap dapat melepaskan kerinduan peminat. Malah, saya juga tak sabar nak berceloteh dengan pendengar. Peminat merindui suara DJ Lin. "Syukur kita dapat kerjasama daripada pihak hospital dan mereka membenarkan kita buat siaran langsung ini. Rasanya belum ada lagi mana-mana penyampai radio buat live di atas katil hospital," katanya kepada mStar. DJ Lin atau nama penuhnya Roslinda Abdul Majid, 44, selamat menjalani pembedahan membuang fibroid iaitu sejenis ketumbuhan di bahagian rahim pada Rabu lalu. Proses pembuangan ketumbuhan bersaiz tujuh kali tujuh sentimeter itu berjalan lancar menerusi kaedah pembedahan 'laparscopic myomectomy'. DJ Lin bersama warga Suria FM. Dalam tempoh pemulihan selepas pembedahan itu, DJ Lin dinasihatkan untuk berehat sehingga ia benar-benar sembuh dan pulih. Dalam pada itu, DJ Lin yang juga merupakan Pengurus Program Suria ini berkata dia akan berkongsi mengenai pengalamannya menjalani pembedahan pembuangan fibroid dan cyst (sista). "Selain melayan panggilan peminat, saya juga akan berkongsi bersama pendengar mengenai pengalaman berdepan dan merawat penyakit ini. "Apa yang pasti wad ini akan gamat dengan keletah rakan penyampai, Sharifah Shahirah yang akan menemani saya sepanjang siaran langsung nanti," katanya.