suria

Popular tapi tiada 'job' pun tak guna - Lia Natalia syukur rezeki murah walaupun masih 'sendu'

Lia Natalia tak bimbang nama masih belum dikenali.

PELAKON Lia Natalia tidak berasa bimbang namanya masih belum dikenali ramai biarpun sudah lapan tahun berada dalam bidang seni.

Lia atau nama sebenarnya Alia Afiqah Abden, 27, berkata dia bersyukur masih diberi peluang dan tawaran untuk berlakon sehingga kini walaupun menyedari dirinya tidak popular.

“Saya tak pernah kisah atau berasa risau dengan populariti walaupun sudah lapan tahun dalam industri seni. Saya sedar masih ada segelintir orang yang tidak mengenali saya.

“Tapi benda tu tak penting. Saya bersyukur sehingga kini Alhamdulillah saya masih diberikan peluang dan tawaran berlakon. Semuanya atas rezeki masing-masing.

“Bagi saya, kalau dikenali tapi tak ada ‘job’ masuk buat apa. Jadi, saya okey sahaja orang tak kenal tapi masih ada tawaran,” kata Lia kepada mStar.


Lia Natalia pada majlis Runway Shoes Launch Theflickstore X Lia Natalia

Pelakon filem Pinjamkan Hatiku ini ditemui ketika acara Runway Shoes Launch Theflickstore X Lia Natalia di Panggung Asia, Jalan Gombak, Kuala Lumpur pada Khamis.

Pelakon yang berasal dari Tawau, Sabah itu memulakan kerjaya dalam bidang seni selepas menyertai program realiti Pilih Kasih musim kedua pada 2010.

Dalam pada itu, Lia kini aktif dalam perniagaan menjual kasut wanita kerjasama dengan Theflickstore dan menjadikan perniagaan tersebut sebagai ‘back up plan’.

“Alhamdulillah, kasut wanita rekaan saya dan kerjasama dengan Theflickstore menerima sambutan yang hangat. Saya ambil masa lebih tiga bulan juga memastikan kasut tu berkualiti dan selesa untuk dipakai.

“Zaman sekarang ini artis pun dah terlalu ramai. Kita pun tak tahu sampai bila boleh berlakon, jadi perniagaan menjual kasut ini kira salah satu ‘back up plan’ saya.

“Buat masa sekarang, kasut rekaan saya itu hanya dikeluarkan sebanyak 1000 sahaja untuk keluaran hari raya. Insya-Allah kalau dapat sambutan lagi menarik, saya akan fikirkan untuk perancangan selepas ini,” ujarnya. 


Lia Natalia

Artikel Lain