suria

“Ada yang cakap saya terdesak nak kahwin, tapi saya dah lali”- Zulin serik kongsi kisah cinta

Zulin serik cerita kisah cinta.

KEGAGALAN cinta sebelum ini membuatkan pelakon dan pengacara Zulin Aziz enggan berkongsi mengenai majlis perkahwinannya suatu hari nanti.

Menurut Zulin, 28, dia belajar daripada kesilapan lalu apabila terlalu terbuka bercerita mengenai perkara itu, namun akhirnya kecundang di tengah jalan.

“Saya serik nak berkongsi kisah perkahwinan sebab takut tak jadi lagi macam dulu.

“Jadi, selepas ini kalau betul-betul kahwin saya tak akan beritahu kepada sesiapa pun, biar orang tahu tiba-tiba saya dah jadi isteri orang.

“Biarlah majlis perkahwinan itu hanya untuk keluarga sahaja dan tak perlu buat besar-besaran,” katanya mStar.

Zulin bersama barisan artis di sidang media Gegar Gempak Raya 2019.

Zulin ditemui di majlis sidang media Gegar Gempak Raya 2019 di Dorsett, Putrajaya pada Jumaat.

Gegar Gempak Raya 2019 akan berlangsung pada 24 hingga 26 Mei ini bertempat di Maeps Serdang selama 72 jam tanpa henti.

Pada November tahun lalu, pemilik nama sebenar Farah Azleenda Abd Aziz ini mendedahkan majlis perkahwinannya tidak akan berlaku memandangkan hubungannya dengan kekasih sudah berakhir.

Namun, dia enggan berkongsi punca perpisahan mereka kerana perkara itu terlalu peribadi dan memilih untuk meneruskan sesi perkahwinan tersebut dengan menggayakan baju, pelamin dan set hantaran yang sudah disediakan untuk dirakamkan dalam video muzik lagu Dan Ketika Itu.

Sementara itu, Zulin yang baru muncul dengan single kedua berjudul Jadikan Aku Yang Halal menerima kritikan pendengar kononnya dia mencipta lagu kerana terlalu terdesak untuk berkahwin.

ARTIKEL BERKAITAN:Hati hancur hanya Allah yang tahu... Zulin Aziz tak jadi kahwin

                                

                                                                                                             Zulin Aziz 

Zulin bagaimanapun tidak mahu ambil pusing dengan kata-kata netizen dan menganggap lagu tersebut sebagai satu bentuk karya seni.

“Ada yang cakap saya terdesak nak kahwin, tapi saya dah lali dengan komen begitu.

“Orang lain pun buat lagu cinta, takkan saya tak boleh. Sedangkan semua lagu lain pun tentang cinta tapi bila saya yang nyanyi siap ada nasihat minta jangan bersedih, pelik pula!,” ujarnya.

Pengarah Urusan Aisy Azka Event, Anuar Mohd. Azmi (enam dari kanan) bergambar bersama artis yang akan menjayakan Gegar Gempak Raya 2019.

Bercakap mengenai Festival Gegar Gempak Raya 2019, acara itu dibawakan khas oleh Aisy Azka Event Management Services akan menampilkan 44 orang selebriti popular tempatan yang terdiri daripada pelakon, penyanyi dan instafamous.

Antara yang terlibat ialah Rozita Che Wan, Sharnaaz Ahmad, Alif Satar, Elyana, Ernie Zakrie, Ezzaty Abdullah, Nabil Ahmad, Izzue Islam, Syamel, Sharnaaz Ahmad, Arja Lee, Noraniza Idris, Ayu Damit, Reyhana dan ramai lagi.

Selain aktiviti jualan, Festival Gegar Gempak Raya 2019 turut menyediakan fiesta trak makanan yang turut akan berkampung selama tiga hari bermula 4 petang sehingga 5 pagi sepanjang festival.

Dengan kehadiran lebih 150 buah trak makanan, festival ini juga akan membuat percubaan bagi memecah rekod bagi Largest Foodtruck Gathering di bawah Malaysia Book of Records.

Pengarah Urusan Aisy Azka Event Management Services, Anuar Mohd. Azmi berkata, tujuan utama festival ini diadakan adalah untuk memudahkan masyarakat setempat membeli persiapan menjelang Aidilfitri dan dalam masa yang sama membantu usahawan meningkatkan ekonomi mereka.

Zulin Aziz

Artikel Lain