suria

Terkejut dikunjungi Anwar Ibrahim, Yazid anggap rahmat Ramadan

Yazid terkejut dan terharu menerima kunjungan Datuk Seri Anwar Ibrahim di kediamannya.

PEMAIN dram kumpulan Search iaitu Yazid Ahmad meluahkan rasa terharu menerima kunjungan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke kediamannya di Wangsa Maju pada Sabtu.

Menurut Yazid, 57, kunjungan Anwar ke rumahnya itu ibarat rahmat buat dirinya sempena bulan mulia ini.

"Sejujurnya saya berasa sangat terharu dan terkejut apabila seorang pendekar politik negara yang begitu saya sanjung,  datang berjumpa saya.

"Saya rasa seperti Allah menghantar kepada saya sesuatu yang amat tinggi dan saya anggap rahmat buat diri saya.

"Ianya suatu perkara luar biasa yang terjadi kepada saya apabila seorang bekas timbalan perdana menteri sudi menziarahi saya. Kehadiran beliau telah menyuntik semula semangat saya," katanya kepada mStar.

Yazid ditemui ketika kunjungan Mahabbah Ramadan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan kunjungan di kediaman anak pemuzik itu di Wangsa Maju.

Melalui ziarah yang berlangsung selama kira-kira 30 minit itu, Yazid berkongsi cerita mengenai perkembangan kesihatan selain membincangkan beberapa perancangan untuk hari tua bersama Anwar.

"Kalau isu politik memang tak sesuai dengan saya.

"Jadi beliau banyak bertanya mengenai masalah kesihatan dan permasalahan yang saya hadapi sebagai anak seni.

"Beliau turut menyebut mengenai jasa dan sumbanagn anak seni terhadap tanah air dan lawatan beliau itu benar-benar menyuntik semangat kepada saya," katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat melaungkan masa menziarahi Yazid.

Dalam pada itu, Yazid turut meluahkan hasrat untuk mendapatkan sokongan kewangan bagi menampung kos rawatan dialisis mencecah RM3,000 sebulan yang membebankannya.

Katanya, kos itu tidak termasuk ubat-ubatan tambahan sebanyak RM400 satu minggu, belanja pengangkutan untuk berulang-alik ke hospital dan belanja harian.

"Setakat ini saya masih mendapat bantuan rawatan dialisis daripada Baitulmal selain bermain muzik bersama kumpulan buskers sekitar Kuala Lumpur.

"Selain itu, isteri ada juga menjalankan bisnes menjual beg tangan yang dibuatnya secara kecil-kecilan sebagai membantu menambah perbelanjaan harian," katanya.

Dalam pertemuan itu, Anwar turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada Yazid.

Yazid kini menderita penyakit saraf selain dilaporkan menghidap penyakit buah pinggang sejak 11 tahun lalu.

Pada Julai 2015, Yazid pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat masalah buah pinggang dan jantung.


Artikel Lain