PELAKON Mawar Rashid memberitahu laman Instagramnya adalah tempat dia berkongsi setiap detik bahagia dan menyeronokkan bersama keluarganya. Mawar, 24, berkata dia tidak mahu melayan komen-komen negatif netizen yang kurang senang melihat kemesraannya bersama suami, Raf Yaakob di laman sosial. "Sebenarnya kalau ikutkan, kita buat apa-apa pun mesti ada sahaja netizen yang akan beri respon negatif dan positif. "Tapi yang negatif tu, saya tak nak layan. Apa yang saya muat naik tu adalah diri saya dan saya kongsi pun menerusi Instagram saya sendiri. ARTIKEL BERKAITAN: Mawar Rashid dan Raf timang cahaya mata Mawar gemar berkongsi momen bahagia dan gembira di laman Instagramnya. "Apa yang membuatkan saya gembira dan bahagia, saya akan kongsi di IG sebab itu diari saya," kata Mawar ketika dihubungi mStar. Pemilik nama Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid diminta mengulas mengenai komen segelintir netizen yang bosan melihat kemesraannya dengan suami. Dalam pada itu, pelakon drama telefilem Pok Ya Cong Codei, Siti Di Hati ini memberitahu dia sentiasa menghargai setiap komen positif. Bagaimanapun, Mawar menasihati netizen yang kurang senang dengannya untuk berhenti melihat perkongsiannya di laman sosial dan berubah menjadi lebih baik. Mawar bahagia disamping keluarga tercinta. "Kepada yang komen positif itu saya sangat hargai. Tapi yang negatif dan kata meluat tu, lebih baik jangan tengok. "Kalau boleh lebih baik diam daripada berkata yang tidak elok atau menguris hati orang lain. Teruskan hidup dan ubah diri ke arah kebaikan," ujarnya. Mawar dan adik kepada chef selebriti Datuk Fazley Yakoob iaitu Raf Yaakob mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017. Mawar dan Raf atau nama sebenarnya Raden Ahmad Faizal Yaakob dikurniakan cahaya mata lelaki bernama Raden Muhammad Rafael pada 13 Mac lalu.