suria

Takut tiada tawaran! Nazia Mustafar sorok ada syarikat produksi sendiri

Nazia sudah bersedia mendedahkan dia adalah penerbit dan pemilik syarikat Megapine Sdn Bhd.

SELEPAS 12 tahun syarikat Megapine Sdn Bhd beroperasi, pelakon Nazia Mustafar akhirnya bersedia mendedahkan dirinya sebagai penerbit dan pemilik syarikat produksi berkenaan.

Menurut Nazia, 43, dia enggan dikenali sebagai penerbit berikutan bimbang tidak ada tawaran berlakon daripada syarikat penerbitan lain.

"Syarikat Megapine sudah lama bertapak dalam industri sejak 12 tahun lalu tapi saya tak pernah dedahkan yang itu adalah syarikat saya dan suami.

"Hanya orang-orang dalam industri sahaja tahu yang saya ini seorang penerbit. Kalau dahulu orang tahu kita penerbit, orang tak nak tawarkan berlakon.

ARTIKEL BERKAITAN: “Rita Hanya Bagi Nasihat, Tak Sentuh Pun Hal Izreen” - Nazia Mustafar


Nazia bersama suami dan anak-anaknya di Iftar Ramadan dan sumbangan duit raya oleh syarikatnya.

"Sebab itu saya takut nak dedahkan. Tapi sekarang ini, saya dah bersedia untuk lebih fokus kepada kerja belakang tabir," katanya kepada mStar.

Nazia ditemui pada majlis iftar Ramadan dan sumbangan duit raya oleh Syarikat Megapine Sdn Bhd di Hotel Zenith, Putrajaya, pada Isnin.

Pada majlis itu, syarikat milik Nazia dan suami, Hazil Izham Ismail memperkenalkan tiga telefilem Ku Genggam Kunci Syurga, Di Penghujung Fatamorgana dan Jam Tangan Pak Su yang bakal disiarkan tidak lama lagi.

Selain itu, seramai 60 anak yatim dari Rumah Anak Yatim dan Asnaf Baitul Rahmaniah (Bairah) serta Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Sri Kundang, Kuala Kubu Bharu, turut diraikan.

Lakonan adalah minat utama Nazia.

Dalam pada itu, Nazia yang sebelum ini dikenali sebagai Nadia Mustafar memberitahu minatnya terhadap dunia lakonan masih ada.

Malah, dia akan tetap menerima tawaran berlakon daripada mana-mana syarikat jika masih mempercayai bakat lakonannya.

"Memang sekarang ini saya dah tak kisah untuk kerja di belakang tabir tapi lakonan itu adalah minat saya.

"Sambil-sambil kerja belakang tabir, kalau ada watak sesuai apa salahnya untuk saya ambil kan.

"Kalau ada sesiapa yang masih ingin panggil saya berlakon, saya akan terima dan selagi ada orang nak saya berlakon," ujarnya.

Nazia Mustafar

Artikel Lain