suria

“Arwah minta kuih onde-onde”- Isteri Dahlan Zainuddin kenang momen akhir bersama

Datuk Dahlan Zainuddin meninggal dunia selepas koma empat hari

ISTERI kepada penyanyi popular era 70-an Allahyarham Datuk Dahlan Zainuddin iaitu Datin Effa Rizan memberitahu arwah masih berusaha untuk berpuasa biarpun berdepan dengan masalah kesihatan sepanjang Ramadan kali ini.

Effa berkata, Allahyarham juga bangun setiap hari untuk bersahur bersama keluarga sebelum diserang penyakit angin ahmar pada Sabtu lalu.

"Biarpun Allahyarham tidak dapat menyempurnakan ibadah puasa kerana masalah kesihatan, namun dia masih berusaha untuk bangun bersahur.

ARTIKEL BERKAITAN: Dahlan Zainuddin meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya memang suka lagu Kisah Seorang Biduan” - Agong berkenan ziarah jenazah Allahyarham Dahlan


Jenazah Dahlan Zinuddin dikafan dan disembahyangkan di Masjid  Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Jalan Telawi, Bangsar.

"Beliau juga ada meminta saya sediakan kuih onde-onde yang menjadi kegemarannya untuk berbuka, namun kini semuanya sudah tiada," jelas Datin Effa kepada mStar.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Kisah Seorang Biduan itu meninggal dunia pada pukul 9.48 malam Selasa pada usia 78 tahun.

Solat jenazah diimamkan Ketua Imam Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Mohd Faizul Mohd Razali.

Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara kira-kira pukul 2.15 petang Rabu.

Isteri dedah Dahlan Zinuddin masih mahu bersahur bersama keluarga birapun sakit.

Dalam pada itu, rakan seperjuangan Dahlan iaitu pennyanyi Uji Rashid berkata dia terkejut dengan pemergian Allahyarham yang disifatkannya sebagai individu yang berhati mulia.

Kata Uji, mereka sempat berbual di telefon beberapa hari sebelum arwah diserang penyakit itu.

"Allahyarham yang lebih mesra disapa Dell seorang yang lembut apabila berbicara walaupun ada yang menganggapnya seorang yang garang kerana raut wajahnya yang serius.

"Lebih memilukan apabila saya baru sahaja bercakap dengannya melalui telefon beberapa hari sebelum dia koma, malah dia menunaikan permintaan saya yang teringin mendengarnya menyanyi lagu Kisah Seorang Biduan," kata Uji.

Dahlan cipta sejarah sebagai penyanyi tempatan pertama mengadakan konsert di Stadium Negara.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga cahaya mata iaitu Natasha Idha, Mohd Danial dan Nur Athinia Ines.

Dahlan memulakan kariernya sebagai seorang penyanyi selepas memenangi kategori Persembahan Keseluruhan Terbaik dalam pertandingan Bintang RTM pada 1975.

Beliau juga telah mencipta sejarah apabila menjadi penyanyi tempatan pertama yang mendapat peluang untuk mengadakan konsert di Stadium Negara pada 1978.

dahlan zainuddin

Artikel Lain