KURANG seminggu sahaja lagi umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, pelakon Reza Hasbi berdepan situasi memeritkan apabila terpaksa meminta ihsan ibu bapa demi meneruskan kehidupan. Perkara itu disebabkan Reza atau nama sebenarnya Muhamad Ridzuan Habullah, 30, lebih dua bulan tidak menerima mana-mana tawaran berlakon. Menurut Reza, dia juga tidak mampu untuk membeli keperluan dua orang anaknya sehingga pernah merancang membuat permohonan bantuan di pusat zakat. "Saya amat mengharapkan job besar untuk teruskan kehidupan. Sepatutnya pihak pengurusan tolong promosi artis tapi tak nampak mereka buat apa-apa pun. Dah masuk dua bulan lebih saya tiada kerja. ARTIKEL BERKAITAN: ‘No more!’ Bintang utama ‘Dia Menantu Rahsia’ antara pelakon bakal disenaraihitamkan ARTIKEL BERKAITAN: Reza Hasbi Berang Remaja Rakam Videonya Dalam Tandas "Sekarang ni saya duduk bersama keluarga di kampung, Kuala Kangsar, Perak dan hidup atas ihsan mak ayah, menumpang makan daripada mereka. Reza berdepan detik memeritkan selepas lebih dua bulan tiada tawaran berlakon. "Saya memang tiada duit langsung sampai terpaksa pinjam duit isteri untuk isi minyak. Lampin dan susu anak pun isteri saya yang keluar duit. Nak balik kampung pun pinjam dengan mak. Sampai satu tahap saya rasa nak minta bantuan pusat zakat," katanya kepada mStar. Selain itu, pelakon drama Dia Menantu Rahsia ini meluahkan rasa kesal terhadap pihak produksi yang menguruskannya kerana menganggap menjadi punca dia tidak mendapat sebarang tawaran berlakon. Malah, terasa seperti dianaktirikan oleh syarikat terbabit. "Saya sangat kesal dengan apa yang berlaku. Seolah-olah tak menghargai bakat dimiliki anak seni. "Ia membuatkan saya rasa sudah putus asa dalam industri bila jadi macam ni. Bila tengok kawan-kawan lain, job mereka back to back. Rasa seperti dipinggirkan. "Saya sangat mengharap pihak pengurusan dapat buat promosi untuk saya. Tak pernah saya tak dapat job langsung. Kalau sampai bulan Julai ini tiada tawaran saya terpaksa tinggalkan bidang seni," katanya. Reza antara pelakon drama Dia Menantu Rahsia. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, Reza turut terkilan dengan sikap sebuah produksi tempatan yang didakwa tidak melunaskan bayaran berjumlah RM5,000. Menurut Reza, pelbagai alasan diberikan syarikat berkenaan namun sehingga hari ini tiada bayaran diterima. "Dah lima bulan saya tunggu bayaran. Mereka asyik beri harapan akan bayar tapi sampai hari ni tiada bayaran. "Sudah minta banyak kali sampai tak tahu nak cakap macam mana kerana sudah malu nak minta. "Kalau anda tak dapat penuh tidak mengapa, bayar RM1,000 dulu pun saya terima," ujarnya. Reza dan isterinya, Rosedarlila mendirikan rumah tangga pada 21 Februari 2015. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhamad Risqi Danial, 2 dan Muhamad Rafie Dayan, berusia dua bulan.