suria

Belum buat persiapan sambut kelahiran, Kaka Azraff mahu jantina bayi jadi kejutan

Kaka dan suami tidak mengetahui jantina bayi mereka.

PENYANYI Kaka Azraff memberitahu dia dan suaminya, Adam Azriff mahu jantina bayi yang bakal dilahirkan pada Oktober depan menjadi kejutan buat mereka.

Menurut Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqah Noor Azraff, 30, hanya ibu mertuanya sahaja mengetahui jantina bayinya selepas mendapat keputusan imbasan daripada doktor.

"Saya dan suami masih tak tahu lagi jantina anak kami yang bakal lahir Oktober depan sebab nak biarkan ia jadi kejutan buat kami berdua.

"Insya-Allah, dalam masa terdekat ini saya akan adakan majlis untuk mengumumkan jantina bayi dan waktu tu baru saya akan tahu.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Lupa diri’ sedang hamil, Kaka Azraf dipantau doktor bimbang diabetes


Kaka akan adakan majlis pengumuman jantina bayinya.

"Sebenarnya ibu mertua saya ada melihat keputusan imbasan tu tapi hanya dia seorang sahaja yang tahu jantina anak saya," kata Kaka kepada mStar.

Penyanyi lagu Sibuk ini terdahulu mengumumkan dia sedang hamil anak pertama pada awal Mei lalu dan kandungannya kini sudah mencecah lima bulan.

Dalam pada itu, biarpun hanya ada beberapa bulan lagi untuk bersalin namun Kaka belum membuat persiapan membeli barang-barang bagi menyambut kelahiran bayi sulungnya itu.

Kata Kaka, dia tidak tahu bagaimana untuk memulakan persiapan membeli barang-barang bayi memandangkan ia pengalaman pertama buatnya.

Kaka dan suami belum mempunyai persiapan menyambut kelahiran anak pertama mereka.

"Kalau ikutkan tinggal beberapa bulan sahaja saya akan melahirkan bayi pertama saya ini. Tapi buat masa sekarang, belum ada persiapan apa-apa.

"Saya dan suami tak beli lagi barang-barang untuk menyambut kelahirannya. Yela, ini pengalaman pertama saya jadi tak tahu nak mulakan beli barang tu macam mana.

"Tapi, nanti saya akan bertanya pendapat ibu dan ibu mertua. Perlahan-lahan beli barang untuk anak saya nanti," ujarnya.

Kaka dan suaminya, Adam Azriff mendirikan rumah tangga pada 14 Disember tahun lalu selepas dirisik keluarga pemuda itu sebulan sebelum itu.

Kaka Azraff

Artikel Lain