suria

Sarimah Ibrahim aktif bersenam, amal diet seimbang sepanjang hamil

Sarimah masih aktif bersenam sepanjang kehamilannya.

PELAKON dan pengacara Che Puan Sarimah Ibrahim mengakui dia pada awalnya berasa bimbang sekiranya berat badannya akan naik ketika hamil.

Menurut Sarimah, 41, dia mengamalkan makanan yang seimbang dan tidak berlebihan sepanjang kehamilannya.

"Mula-mula saya takut juga berat badan akan naik sebab saya hamil diusia 41 tahun. Tapi Alhamdulillah, badan saya masih maintain.

"Sepanjang kehamilan ni, saya makan macam biasa saja dan tidak makan secara berlebihan. Kadang-kadang ikut pada orang juga.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya akan ada kawan baru, boleh ajak bersolek!”- Sarimah Ibrahim bakal lahir bayi perempuan

Sarimah dijangka melahirkan bayi perempuan pada Julai depan.

"Cuma, saya akan lebihkan vitamin dan zat seperti yang dinasihatkan doktor," kata Sarimah kepada mstar.

Sebelum ini, Sarimah mengumumkan dia bakal menimang cahaya mata perempuan yang dijangka lahir pada Julai depan.

Dalam pada itu, biarpun mengalami alahan yang teruk pada awal kehamilan, pelakon dan pengacara itu tetap melakukan senaman setiap hari.

Sarimah juga mendedahkan dia hampir pengsan ketika bangun dari katil namun tetap meneruskan senaman.

Bagaimanapun, Sarimah berkata dia terlebih dahulu meminta nasihat doktor mengenai aktiviti berkenaan.

Sarimah dan suami teruja bakal timang cahaya mata pertama.

"Memang saya amalkan senaman setiap hari walaupun rasa loya dan mengalami alahan yang teruk pada awal kehamilan.

"Sampaikan ada ketika saya nak bangun atas katil, rasa nak pengsan. Tapi sebab dah biasa bersenam, saya teruskan juga.

"Sebelum itu, saya ada bertanya kepada doktor. Alhamdulillah, semuanya okey," ujarnya.

Sarimah mengumumkan hamil anak pertama pada 1 Februari lalu selepas empat tahun berkahwin dengan kerabat Negeri Sembilan, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar.

Sarimah dan Tunku Nadzimuddin mendirikan rumah tangga pada 2 April 2015

Sarimah Ibrahim

Artikel Lain