suria

Peminat gembira hukuman penjara Farid Kamil ditangguhkan “Masih sempat beraya dengan keluarga”

Berita penangguhan hukuman terhadap Farid Kamil disambut baik peminat. Foto: Bernama

KEPUTUSAN mahkamah membenarkan penangguhan terhadap pelaksanaan hukuman penjara sembilan bulan terhadap Datuk Farid Kamil atas tuduhan dadah turut disambut baik peminat.

Menerusi tinjauan di laman Instagram aktor tersebut, rata-rata pengikut menerima berita itu dengan hati gembira.

Lebih-lebih lagi penangguhan yang diberikan pada bulan Syawal ini membolehkan Farid meraikan Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

ARTIKEL BERKAITAN: 35 hari Farid Kamil dalam penjara, kini mahkamah benar tangguh hukuman... “InsyaAllah, semuanya Allah permudahkan

ARTIKEL BERKAITAN: Farid Kamil beraya dalam penjara

"Selamat hari raya Aidilfitri Farid Kamil... Alhamdulillah Datuk masih sempat beraya dengan keluarga.

"Welcome back Farid. Syukur Alhamdulillah dan selamat hari raya," komen netizen pada foto terakhir yang dimuat naik pada 13 Mei lalu.

Peminat menyambut baik keputusan penangguhan hukuman terhadap Farid.

Sehingga kini Farid masih belum memuat naik sebarang kemaskini terbaharu di laman sosial miliknya.

Malah, isterinya iaitu Datin Diana Danielle juga tidak berkongsi foto terbaharu berkaitan suaminya itu.

Pada Rabu, Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman membenarkan permohonan Farid, 38, selaku pemohon dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Tinggi di Shah Alam.

Farid telah menjalani hukuman penjara selama 35 hari.

Dalam keputusannya itu, Hakim Ab Karim turut memerintahkan pelakon filem Lagenda Budak Setan itu membayar jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.

Pada 15 Mei lalu, Farid dikenakan hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu.

Dalam prosiding itu juga, mahkamah tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman.

Disebabkan itu, Farid dibawa ke Penjara Kajang dan hukuman penjara berkenaan diperintah bermula tarikh sabitan, iaitu pada hari sama.

Farid telah menjalani hukuman di Penjara Kajang selama 35 hari sejak 15 Mei lalu.

Farid Kamil

Artikel Lain