BEKAS isteri kepada vokalis kumpulan OAG, Radhi iaitu Nur Shahira Ayu Zahiri mengakui penyanyi itu pernah meluahkan hasrat untuk kembali bersama selepas melafazkan cerai pada 25 Mac lalu. Shahira Ayu atau lebih mesra dipanggil Ayu, 25, bagaimanapun nekad dengan keputusan untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak tanpa suami. “Sebenarnya Radhi sudah melafazkan cerai kepada saya pada 25 Mac yang lalu dan hari yang sama tu juga saya tidak lagi tinggal bersamanya di kediaman kami. ARTIKEL BERKAITAN: “Mungkin jodoh kami sampai sini” - Isteri Radhi (OAG) akui 2 minggu tak sebumbung “Selepas daripada itu, dia ada juga beberapa kali memujuk untuk kembali bersama tapi sejujurnya saya sudah nekad dengan keputusan ini. “Jika dia nak rujuk semula, saya tetap tak mahu. Saya mahu meneruskan kehidupan baharu bersama anak-anak tanpa dia,” kata Ayu kepada mStar. Ayu nekad untuk tidak meneruskan perkahwinan mereka. Ayu menerusi laporan mStar pada 4 April lalu mengakui hubungan rumah tangga yang dibina sejak lima tahun lalu berdepan masalah dan mereka kini tinggal secara berasingan sejak 25 Mac lalu. Bagaimanapun Ayu enggan menjelaskan punca sebenar masalah yang dialami kerana beranggapan ia terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum. Dalam pada itu, Ayu memberitahu dia dan Radhi sudah memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya pada 3 Jun lalu dan kes mereka akan dibicarakan dalam masa terdekat. “Saya dan Radhi sama-sama ke mahkamah pada 3 Jun lalu untuk memfailkan perceraian kami. InsyaAllah dalam masa terdekat ni kami perlu ke mahkamah untuk sebutan perceraian. Ayu minta orang ramai mendoakan yang terbaik untuk perkahwinannya. “Saya harapkan semua orang dapat mendoakan yang baik-baik untuk saya dan Radhi,” ujarnya. Radhi dan Ayu berkahwin pada 14 April 2014 dan mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3. Dua orang anak mereka buat masa ini masih berada di bawah penjagaan Ayu dan Radhi sentiasa dibenarkan untuk bertemu dengan mereka pada bila-bila masa. Sebelum ini Radhi pernah berkahwin dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 dan bercerai pada 8 Jun 2010. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Muhammad Rifdhi Muslim yang kini berusia 14 tahun.