suria

Ibu Mawi meninggal dunia

PENYANYI Mawi yang juga penyampai radio Zayan FM kehilangan ibu tercinta iaitu Ramlah Sarlan yang meninggal dunia di rumahnya di Felda Taib Andak, Kulai, Johor kira-kira pukul 8 malam, Rabu.

Berita itu disahkan oleh isteri penyanyi itu, Nora’Asikin Rahmat atau Ekin.

“Innalillahiwainahilahirojiun… Buat Ibu mertua saya Ramlah Sarlan yang telah kembali ke rahmatullah Maghrib tadi... Al-fatihah,” kata Ekin dalam status Facebook miliknya.

Dalam pada itu Ekin berkata, minggu lalu mereka sekeluarga berkampung di hospital untuk memantau keadaan Ramlah dan wanita itu dilihat kuat walaupun dalam keadaan lemah.

Ekin bersama anaknya, Cahaya Malaika ketika menziarahi Ramlah di hospital. Foto: Facebook Ekin.

“Minggu lepas kita semua berkampung kat hospital. Walaupun keadaan mak lemah betul tapi mak kuat dan cekal, tak penah pun dengar mak mengeluh ke complain ke… Fuh betapa hebatnya Mak… Dah tiba masanya untuk mak berehat.

“Semoga Mak ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Amin yarabal Alamin,” katanya.

Sementara itu, pengurus Mawi iaitu Abdul Mutalib Md Saad ketika dihubungi mStar memberitahu Ramlah yang berusia 73 tahun meninggal dunia kerana komplikasi beberapa penyakit dan sakit tua.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Taib Andak, Kulai, Johor pukul 10 pagi Khamis.

Pada 2006 Mawi kehilangan ayahnya iaitu Ani Ahmad, 66, yang meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) Institut Jantung Negara (IJN).

Mawi, Ekin

Artikel Lain