PELAKON Nadya Syahera mengakui terkejut dengan tindakan suaminya, Fizul Nawi yang meminta pandangan netizen menerusi kaedah undian di Instastory berhubung masa depan rumah tangga mereka yang dikatakan sedang bergolak. Menurut Nadya, 26, dia tidak mengetahui niat sebenar Fizul memuat naik soalan tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: “Serabut! Ni semua angkara mulut isteri aku” - Suami Nadya Syahera nafi curang, tak balik sebulan kerana sibuk berniaga "Saya memang agak terkejut apabila diberitahu Fizul ada meminta netizen untuk mengundi sama ada nak bercerai atau tidak di Instastory dia. "Tak tahu apa niat sebenar dia buat macam tu. Sebab selama ini, dia tidak pernah pula kata nak cerai tapi ada la juga bagi bayangan seakan nak ke arah itu. Nadya menunggu kepulangan suaminya untuk berbincang mengenai masalah mereka. "Saya pun tak tahu apa yang dia nak sebenarnya. Mungkin apa yang dimuat naik itu dalam keadaan dia sedang marah dan tidak boleh berfikir secara rasional," katanya kepada mStar. Nadya sebelum ini membuat pendedahan suaminya yang juga seorang usahawan berlaku curang hingga menjadi perbualan di media sosial sejak Jumaat lalu. Manakala Fizul menerusi Instagram kesal dengan tindakan isterinya itu yang dianggap menjatuhkan maruah dia dan keluarga. Dalam pada itu, Nadya memberitahu dia tidak berniat untuk membuka aib atau menjatuhkan maruah sesiapa namun hanya ingin memberi pengajaran kepada suami dan juga wanita di luar sana yang gemar menggoda lelaki yang sudah berkahwin. Kata Nadya, dia masih berhubung dengan Fizul dan akan menyelesaikan masalah mereka selepas suaminya yang kini berada di Kelantan pulang ke rumah. "Saya bukan nak jatuhkan maruah sesiapa atau nak aibkan suami sendiri. Apa yang saya buat ni hanya ingin mengajar dia dan wanita-wanita yang suka 'menyondol' suami orang. Nadya dan Fizul mahu utamakan anak-anak. "Buat masa sekarang ini, saya masih berhubung dengan Fizul melalui telefon sebab saya pun masih isteri dia dan ada anak-anak perlu diutamakan. "Tapi saya akan berbincang mengenai masalah kami bila dia balik sini (Kuala Lumpur) sebab sekarang dia berada di Kelantan untuk uruskan perniagaan," ujarnya. Nadya sebelum ini mendakwa suaminya menjalinkan hubungan cinta dengan adik kepada pengasas kosmetik berasal dari Kelantan dan tidak pulang ke rumah selama sebulan. Namun, Fizul menjelaskan dia tidak pulang ke rumah sepanjang Ramadan lalu kerana sibuk menguruskan perniagaan di tiga buah negeri. Nadya dan Fizul berkahwin pada 25 September 2015 dan perkahwinan itu merupakan kali kedua buat usahawan tersebut. Hasil perkongsian hidup selama empat tahun, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aleena Rose dan Mohamad Dayyan yang masing-masing berusia dua dan satu tahun.