suria

“Kami bukan nak duit atau popular, ia berkaitan hak cipta” - Drama 'Bukan Cinta Aku' didakwa guna lagu tanpa kebenaran

Drama lakonan Janna dan Baim Bukan Cinta Aku menggunakan lagu nyanyian penyanyi Adzrin (kiri) tanpa kebenaran.

SELEPAS beberapa isu dikaitkan dengan drama Bukan Cinta Aku, kali ini sebuah syarikat pengedar iaitu Virtuosity Production pula meluahkan rasa tidak puas hati apabila lagu berjudul Bukan Yang Terbaik nyanyian penyanyi baharu Adzrin digunakan dalam drama itu tanpa kebenaran pihaknya.

Pemilik syarikat pengedar itu, Muhammad Wafi Abdul Shakor, berkata, pihaknya hanya menyedari perkara itu selepas dimaklumkan oleh peminat-peminat penyanyi berkenaan yang berkongsi beberapa babak drama tersebut di Instagram. 

ARTIKEL BERKAITAN: “Benda dah lepas, biarkan ia berlalu” - Pengarah drama 'Bukan Cinta Aku' mengaku silap, terlepas pandang

"Pihak saya terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap produksi tersebut kerana menggunakan lagu Bukan Yang Terbaik dalam beberapa babak dan episod tanpa keizinan mereka.

Adzrin terkejut lagunya digunakan dalam babak drama Bukan Cinta Aku.

"Tindakan yang diambil bukan disebabkan kami nak duit atau nak dikenali tapi ia melibatkan hak cipta sesebuah lagu dan sepatutnya pihak produksi tahu mengenai perkara itu memandangkan mereka sudah banyak menerbitkan drama.

"Kami dapat tahu pun menerusi Instagram selepas ada peminat yang 'tag' nama Adzrin di video beberapa babak drama yang menggunakan lagunya," kata Wafi ketika dihubungi mStar.

Dalam pada itu, Wafi memberitahu pihak produksi tidak pernah menghubunginya atau memaklumkan tentang penggunaan lagu tersebut dalam drama itu.

Babak antara Syafiq Kyle dan Janna Nick menjadi topik hangat netizen.

Kata Wafi, dia juga menunggu maklum balas daripada pihak stesen televisyen TV3 yang menyiarkan drama tersebut.

"Sebelum drama itu ditayangkan dan sehingga kini tiada seorang pun daripada pihak produksi yang cuba untuk menghubungi kami untuk berbincang mengenai perkara tersebut.

"Buat masa kini, saya sudah menghantar emel kepada stesen televisyen yang menyiarkan drama itu dan masih menunggu maklum balas daripada mereka.

Kalau dalam masa terdekat masih tiada maklum balas, saya akan mengambil tindakan seterusnya untuk mempertahankan hak kami.

Muhammad Wafi Abdul Shakor

Pemilik syarikat Virtuosity Production

"Kalau dalam masa terdekat masih tiada maklum balas, saya akan mengambil tindakan seterusnya untuk mempertahankan hak kami," ujarnya.

Sebelum ini, drama lakonan Syafiq, Janna dan Baim dikritik netizen apabila penonton menyedari terdapat kelalaian pihak produksi kerana poster di dinding pusat perubatan yang kononnya di Indonesia jelas tertera tulisan 'Hospital Pakar Kuala Terengganu'.

Drama cinta 20 episod itu disiarkan di slot Akasia di TV3 berakhir pada Rabu lalu.

View this post on Instagram

Happy 2.1M “Bukan Yang Terbaik”

A post shared by Adzrin (@adzrinamrddin) on

Artikel Lain