suria

Cinta berakhir, Julia Farhana dan Erwin Dawson tiada masalah untuk bekerjasama

Julia anggap Erwin sekadar kawan selepas hubungan cinta mereka berakhir. Foto: IZZRAFIQ ALIAS.

BIARPUN hubungan cinta sudah berakhir, pasangan pelakon Julia Farhana Marin dan Erwin Dawson masih baik sebagai kawan.

Julia, 27, berkata, mereka masih boleh bekerjasama sekiranya ditawarkan untuk bergandingan dalam sebuah drama atau filem.

ARTIKEL BERKAITAN: "Cinta itu ada turun, naiknya" - Julia Farhana kembali ke pangkuan Erwin Dawson

"Sejujurnya saya sekarang sibuk dengan karier seni dan keluarga yang menjadi keutamaan saya. Buat masa kini pula, karier saya tengah meningkat naik.

"Sudah empat tahun dalam industri, akhirnya saya dapat watak yang diidamkan. Jadi, memang tak terfikir nak ada hubungan cinta dengan sesiapa pun.

Julia dan Erwin tiada masalah untuk bekerjasama dalam sebuah projek.

"Dengan Erwin, kami sentiasa berkawan. Kalau ada rezeki bekerjasama pun kami tiada masalah," kata Julia kepada mStar.

Julia ditemui ketika majlis pelancaran filem Coast Guard di Red Hotel, Kuala Lumpur pada baru-baru ini.

Pelakon drama bersiri Setelah Cinta Itu Pergi  sebelum ini memberitahu hubungannya dengan Erwin kembali terjalin selepas penghujung tahun lalu dikatakan percintaannya mereka telah berakhir.

Dalam pada itu, Julia kini sedang membuat persiapan dan latihan sebelum menjejak kaki di set penggambaran filem aksi bertajuk Coast Guard yang akan bermula pada Ogos depan.

Menurut Julia, sesi latihan yang sedang dijalankan memerlukan dia bangun seawal 6.30 pagi dan berterusan sehingga 11 malam pada setiap hari.

Julia bakal menjalani penggambaran filem aksi pada Ogos depan.

"Pada awalnya, saya fikir latihan yang bakal dijalankan biasa-biasa sahaja sebab saya memang seorang yang aktif bersukan namun, ia jauh meleset sebab latihan tersebut sangat berat.

"Bermula seawal 6.30 pagi, saya mula berjoging sepanjang lima kilometer (km), kemudian 8 pagi bersenam di gimnasium sebelum masuk ke kelas pada pukul 9 pagi.

"Kemudian pada pukul 11 pagi, kami menjalani latihan kawad kaki dan bersambung dengan latihan lain sehingga pukul 11 malam setiap hari.

"Nampak seperti banyak, tetapi itu cuma 10 peratus sahaja daripada latihan sebenar mereka," ujarnya.

Menerusi filem yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan, Julia memegang watak sebagai anggota maritim bernama Leftenan Melati.

Julia Farhana, Erwin Darson

Artikel Lain