suria

“Ini penipu... saya tidak pernah minta sumbangan!” - Penyamar guna nama Fauziah Nawi rayu bantuan wang ringgit

Fauziah meminta orang ramai berwaspada dengan akaun palsu menggunakan namanya di Facebook.

PELAKON veteran Fauziah Nawi meminta orang ramai supaya berwaspada dan tidak terpedaya dengan akaun palsu menggunakan namanya di laman Facebook.

Menurut Fauziah, 66, dia mendapat maklumat akaun tersebut dicipta oleh individu tidak bertanggungjawab dengan tujuan mengutip dana untuk rumah kebajikan.

"Ini penipu... akaun palsu jangan terima friend request, bukan saya Fauziah binti Nawi.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanpa 'cue card', Fauziah Nawi puji Janna Nick mengacara

"Mohon jangan terpedaya, saya tak pernah buat kutipan dana untuk sebarang persatuan atau rumah kebajikan. Jangan layan!," katanya.

Pelakon drama Curi-Curi Cinta ini berkongsi maklumat tersebut menerusi Instagram dan Facebook miliknya pada Jumaat.

Akaun palsu tersebut dilaporkan menipu dengan memohon bantuan dan sumbangan berbentuk wang ringgit.

Sementara itu, Fauziah berkata dia akan membuat laporan polis dalam masa terdekat kerana bimbang namanya terpalit dengan penipuan tersebut.

"Untuk makluman semua saya tidak terlibat. Ini semua scam. Jangan percaya. Laporan polis akan menyusul.

"Terima kasih sebab ramai yang dah laporkan tentang perkara ini di Facebook," ujarnya.

Mohon jangan terpedaya. Ini semua penipuan. Laporan polis akan menyusul!

FAUZIAH NAWI

Pelakon

Sebelum itu, Fauziah juga ada memuat naik semula status yang ditulis seorang sahabatnya di Instagram.

Difahamkan, pemilik akaun palsu itu telah menambah kenalan di Facebook dan meminta bantuan berbentuk barangan dan wang tunai.

Justeru itu, dia meminta orang ramai berhati-hati dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika menerima mesej mencurigakan.

Fauziah mempertimbangkan untuk membuat laporan polis terhadap akaun palsu tersebut.

"Scammer ini telah buat friend request kepada rangkaian kenalan ibu Fauziah Nawi. Apa yang dikesalkan ialah scammer ini menggunakan akaun palsu tersebut untuk memohon bantuan dalam bentuk barangan dan wang tunai.

"Tolong jangan terima permintaan kawan itu dan mohon jangan beri apa-apa sumbangan kepada scammer tersebut.

"Sila lapor kepada pihak berkuasa jika anda diminta untuk membuat sumbangan. Harap maklum!," tulisnya.

Fauziah Nawi

Artikel Lain