suria

“Saya harap dia betul-betul berubah” - Nadya Syahera beri peluang kedua, minta netizen henti kecam suami

Nadya beri peluang kedua kepada suaminya demi anak-anak.

PELAKON Nadya Syahera mengakui perbincangan awal antara dia dan suaminya, Fizul Nawi bagi menyelesaikan masalah rumah tangga mereka hampir berakhir dengan perpisahan.

Nadya, 26, berkata dia bagaimanapun memberi peluang kedua kepada Fizul selepas melihat keikhlasan suaminya untuk berubah menjadi lebih baik.

Malah menurut Nadya, segala keputusan yang dibuat itu juga demi dua orang anak mereka dan perasaan sayang yang masih ada terhadap suaminya.

ARTIKEL BERKAITAN: Nadya Syahera terkejut suami buat 'poll' di Instagram tanya pendapat nak cerai, "Tak tahu apa yang dia nak sebenarnya"

"Pada awal perbincangan kami hampir berakhir dengan perkara yang tidak baik tapi Alhamdulillah, mungkin jodoh kami masih ada dan kuat.

Fizul memohon maaf kepada isterinya.

"Bincang secara baik dan dia pun ada tunjuk betul-betul nak berubah. Jadi, apa salahnya saya beri peluang untuk kesekian kalinya untuk dia.

"Lagipun, demi anak-anak kami juga dan demi rasa sayang yang masih ada untuk dia. Saya harap dia betul-betul berubah," kata Nadya kepada mStar.

Nadya diminta mengulas mengenai kenyataan suaminya di laman sosial baru-baru ini mengatakan hubungan mereka kini sudah kembali pulih dan meminta netizen untuk berhenti memberi kecaman.

Bincang secara baik dan dia pun ada tunjuk betul-betul nak berubah.

- NADYA SYAHERA

   PELAKON

Menerusi laporan mStar pada 25 Jun lalu, Nadya memberitahu dia terkejut dengan tindakan suaminya yang meminta pandangan netizen menerusi kaedah undian di Instastory berhubung masa depan rumah tangga mereka.

Dalam pada itu, Nadya menjelaskan tindakan dia berkongsi kemelut yang dihadapinya itu bukan dengan niat ingin membuat aib sendiri namun menganggap ia jalan terakhir yang terpaksa dipilih.

Bagaimanapun, Nadya tidak akan berkongsi mengenai kehidupan peribadinya kepada umum dan berharap netizen mendoakan yang baik buat dia sekeluarga.

Nadya mohon netizen doa yang baik-baik untuk dia sekeluarga.

"Saya kongsi pada umum pun bersebab. Bukan nak aib rumah tangga sendiri tapi ini sahaja cara terakhir yang saya ada ketika itu.

"Sebelum ini saya memang tak pernah kongsi fasal rumah tangga saya suka hati di laman sosial, cuma kali ini saja saya terpaksa lakukan. Kalau lepas ini mungkin saya pun tak akan kongsi lagi dah.

"Cuma minta netizen semua doakan yang baik-baik dan terima kasih juga untuk semua sepanjang tempoh kekecohan tu, ramai yang memberi nasihat, kata semangat dan sebagainya. Saya hargai dan hanya Tuhan saja yang mampu balas," ujarnya.

Kemelut rumah tangga Nadya mula menjadi perbualan netizen apabila dia mendedahkan suaminya menjalinkan hubungan cinta dengan adik kepada pengasas komestik berasal dari Kelantan dan tidak pulang ke rumah sepanjang bulan Ramadan lalu.

Pelakon drama Setelah Terlafaznya Akad itu berkahwin dengan Fizul pada 25 September 2015 dan perkahwinan tersebut merupakan kali kedua buat suaminya.

Hasil perkongsian hidup selama empat tahun, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aleena Rose, 2, dan Mohamad Dayyan yang kini berusia satu tahun.

Nadya Syahera, Fizul Nawi

Artikel Lain