suria

“Tolong maafkan mama” - Jaclyn Victor menyesal terlalu manjakan anak, tak ajar cara berdikari

Jaclyn lakukan yang terbaik dan memberikan segalanya untuk anak-anaknya.

SEBAGAI ibu kepada dua cahaya mata yang masih kecil, penyanyi Jaclyn Victor mengakui terlalu memanjakan mereka hingga timbul rasa kurang senang jika ia berkemungkinan akan membawa kesan buruk kepada tumbesaran anak-anak.

Menurut Jaclyn, dia mula menyedari bahawa sikapnya itu membuatkan dua orang anaknya iaitu Jonah Joshiah Rivera dan Molly Marguerite Rivera tidak belajar untuk berdikari.

"Saya agak senyap sejak beberapa hari lalu kerana sibuk dengan anak-anak dan terlalu memikirkan banyak perkara terutamanya bagaimana saya menjadi seorang ibu yang teruk kepada mereka.

"Saya ibu mereka. Ia adalah pilihan saya sendiri untuk menjaga mereka tanpa bantuan pembantu sebab saya tidak mahu ketinggalan (melihat mereka membesar).

Jaclyn mengakui terlalu manjakan anak-anaknya.

"Saya fikir, saya lakukan yang terbaik dengan memberi segalanya untuk mereka. Beri makan, mandi, gosok gigi, tukar baju dan macam-macam lagi. Tapi saya sepatutnya mendidik mereka untuk berdikari dan lakukan sendiri, bereksperimen semua perkara... tapi tidak," katanya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Nisan Cinta ini turut mengakui kesilapannya apabila terlalu awal mendedahkan mengenai televisyen dan gajet kepada anak-anaknya di usia masih kecil.

Bagaimanapun, Jaclyn nekad untuk memperbaiki semula kesalahan yang dilakukan dan mengubah cara dia mendidik anak-anaknya.

Malah, Jaclyn juga berharap dia dapat menjadi seorang ibu yang terbaik biarpun memerlukan kerja keras dan mengambil masa demi kasih sayangnya terhadap kedua-dua anaknya.

Jaclyn mahu menjadi ibu yang terbaik buat Jonah dan Molly.

"Paling teruk yang pernah saya lakukan ialah membenarkan televisyen dan gajet menjadi pengasuh mereka.

"Saya buat keputusan untuk memperbaiki kesalahan saya, mengubah keadaan dan ikut cara saya dibesarkan. Saya mahu menjadi ibu yang terbaik. Tuhan, saya mahu menjadi seorang ibu yang baik.

"Ia memerlukan kerja keras serta masa dan saya akan lakukan sebab saya seorang wanita yang kuat. I love you Jonah and Molly. Tolong maafkan mama okey. I love you," ujarnya.

Jaclyn berkahwin dengan bintang R&B Amerika Syarikat, Shawn Rivera pada 19 Julai 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Jonah, 4, dan Molly yang kini berusia dua tahun.

Jaclyn Victor

Artikel Lain