suria

“Kekok bila ada isteri di set penggambaran, tapi dia faham” - Hisyam Hamid tambat hati isteri sebelum berlakon babak romantik

Hisyam Hamid ada cara memujuk hati isteri sebelum menjayakan babak romantik. Foto: NORAFIFI EHSAN

PELAKON Hisyam Hamid mengakui terpaksa membeli jiwa isterinya terlebih dahulu sebelum menjayakan watak romantik dengan mana-mana aktres atau model wanita.

Menurut Hisyam, 33, dia memahami naluri seorang isteri yang mudah cemburu jika melihat suami mereka beraksi mesra dengan wanita lain biarpun hanya sekadar lakonan.

"Sejujurnya tipulah kalau kata wanita terutamanya isteri tak cemburu tengok suami buat adegan romantik dengan orang lain, bagi saya itu perkara biasa... kalau tak cemburu itu yang masalah.

ARTIKEL BERKAITAN: Boleh bahagia kahwin muda asalkan tahu tanggungjawab - Hisyam Hamid

"Kita sebagai suami yang main peranan penting, contohnya sebelum saya lakonkan babak romantik dengan aktres lain, saya akan tambat hati isteri dulu, pujuk dia... peluk dia terlebih dulu sampai dia pun dah faham apa maksudnya.

"Memandangkan isteri saya sudah biasa dengan industri hiburan, jadi dia tak adalah cemburu yang melampau sangat cuma kita faham sendirilah orang perempuan ni ada cemburunya, mulut saja cakap tidak tapi dalam hati mesti ada!," katanya kepada mStar.

Hisyam bersama isteri dan dua anak tersayang.

Hisyam ditemui semasa tayangan perdana telefilem Geng yang diadakan di GSC Pavilion, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Pelakon berasal dari Singapura ini berkahwin dengan Rosmawati Hanafi, 37, pada 2 September 2006 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nurish Syameliah, 12, dan Hayden, 10 tahun.

Sementara itu, Hisyam berkata dia pernah berasa malu dan kekok untuk menjayakan babak romantik ketika isterinya berada di set penggambaran.

Sebelum bawa watak romantik, saya akan tambat hati isteri dulu, pujuk dia... peluk dia terlebih dulu!

HISYAM HAMID

Pelakon

"Kadang-kadang tu rasa kekok juga bila dia ada di set penggambaran dan saya perlu bawa babak romantik dengan pelakon lain, terus nampak kayu jadinya.

"Tapi dia faham, dia akan minta saya lebih rileks dan akan tinggalkan set untuk buat kami berasa selesa.

"Buat masa ini kami masing-masing profesional dan tahu kerja yang kita lakukan, isteri juga merupakan pengurus saya dan dia tahu di mana saya pergi dan apa yang saya lakukan," ujarnya.

Barisan pelakon telefilem Geng yang bakal ditayangkan di Astro First pada 18 Julai ini.

Bercakap mengenai telefilem Geng, Hisyam yang membawakan watak Alex iaitu kekasih kepada Sherry Alhadad diminta melakonkan beberapa babak romantik.

Bagaimanapun, Hisyam berkata isterinya hanya tertawa apabila mengetahui dia dan Sherry akan menjadi pasangan kekasih dan perlu beraksi mesra.

"Apabila isteri tahu saya perlu romantik dengan Sherry, dia gelak sahaja dan jadikan bahan lawak.

"Mereka dah kenal lama dan saya juga pernah bekerjasama dengan Sherry dalam projek-projek amal sebelum ini, jadi dengan kawan-kawan lebih senang nak bawa watak begini," katanya.

Selain Hisyam, Geng turut dibintangi oleh Lisa Surihani, Nadiya Nisaa, Sherry Alhadad, Alif Satar dan Fatimah Abu Bakar.

Telefilem arahan Umi Salwana Omar ini akan bersiaran di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 18 Julai ini.

Hisyam Hamid

Artikel Lain