PELAKON Vanidah Imran menjelaskan dia tidak berdepan sebarang masalah sepanjang penggambaran sebuah filem yang turut melibatkan bekas suami Rashidi Ishak. Vanidah, 46, berkata, mereka bersikap profesional demi menjalankan tanggungjawab dan kepentingan kerjaya sebagai pelakon. ARTIKEL BERKAITAN: “Saya bukan Imam yang baik” - Rashidi Ishak mengaku sudah bercerai dengan Vanidah Imran "Kami bukannya bergaduh, bukan perpisahan yang teruk dan 'bitter'. Jadi tiada masalah untuk kami bekerjasama dalam satu filem. Anak-anak kini dibawah penjagaan Vanida. "Sebenarnya tawaran lakonan filem ini diterima selepas perceraian kami, kenapa perlu bermasam muka? "Tak kan la mahu tolak tawaran hanya kerana tidak mahu berjumpa. Kami masing-masing ada periuk nasi yang perlu dijaga,” kata Vanidah kepada mStar. Vanidah ditemui pada majlis sidang media Kempen Cinta Malaysia anjuran Kementerian Pelancongan & Seni Budaya pada Selasa. Dalam perkembangan lain, pelakon filem The Red Kebaya ini menjelaskan bakal menyambung kembali pelajarannya dalam peringkat sarjana muda yang sudah tertangguh dua semester. Vanida bakal menyambungkan kembali pelajaran yang tertangguh dua semester. "Pelajaran saya dalam peringkat sarjana muda seni persembahan drama sudah tertangguh dua semester, semuanya kerana memberi fokus kepada anak sulung yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu. "Dan penangguhan itu sama sekali tidak membabitkan kisah keruntuhan rumah tangga dengan bekas suami tahun lalu," tambahnya. Vanidah dan Rashidi berkahwin 1 Oktober 2000 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mikhail Imran, 18 dan Mariyam Rashika yang kini berusia 15 tahun. Namun, rumah tangga yang dibina selama 17 tahun musnah apabila mereka memutuskan untuk bercerai pada 9 Ogos 2018.