suria

“Jodoh kami tak panjang” - Betty Benafe bercerai dengan Bruce Dargus

Betty mengesahkan dia sudah bercerai dengan suaminya, Bruce Dargus pada 10 Julai lalu.

TUJUH tahun melayari bahtera rumah tangga, pelakon Betty Benafe mendedahkan dia kini sudah bercerai talak satu dengan suaminya, Bruce Dargus pada 10 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru.

Betty atau nama sebenarnya Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe, 40, berkata dia reda dan menganggap ada hikmah disebalik kegagalan perkahwinan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Betty Banafee masih lagi dalam tempoh percubaan berhijab

"Sebenarnya saya sudah bercerai pada 10 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru dan kami berpisah pun dengan cara baik.

Betty seakan memberi bayangan mengenai dirinya menerusi status dimuat naik pada hari dia bercerai.

"Kalau ikutkan saya tak nak berkongsi dan tak nak mengulas lebih lanjut mengenai perkara ini tapi takut nanti ada berlaku fitnah, saya terpaksa beritahu.

"Saya percaya ada hikmah disebalik apa yang terjadi dan dia (bekas suami) seorang pasangan yang baik tapi antara kami sudah tiada keserasian dan jodoh kami tidak panjang," katanya kepada mStar.

Betty pada hari perceraianya ada memuat naik status di laman sosial meluahkan rasa syukur dan percaya pada aturan yang disusun Allah.

Dalam pada itu, pelakon yang popular menerusi drama Spa Q memberitahu biarpun masih bersedih dengan perpisahan itu, namun kehidupan perlu diteruskan seperti biasa.

Menurut Betty, dia juga menganggap apa yang terjadi memberi peluang untuk dia berubah menjadi lebih baik dan memberi tumpuan sepenuhnya pada keluarga dan perniagaannya.

Betty masih menunggu keputusan mahkamah mengenai hak penjagaan anak-anaknya.

"Kehidupan tetap perlu diteruskan walau apa pun yang terjadi. Tapi bagi saya, mungkin ini juga merupakan peluang untuk saya mencari keredhaan Allah.

"Sekarang ini fokus saya hanya pada anak-anak dan keluarga. Selain itu saya juga sibuk menguruskan tiga perniagaan iaitu agensi pelancongan, produksi dan pusat latihan motivasi," ujarnya.

Betty dan Bruce Dargus mendirikan rumah tangga pada 8 Disember 2012.

Hasil daripada perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan anak perempuan bernama Julia Claire Dargus, 6 dan anak lelaki, Bruce Dean Dargus yang kini berusia empat tahun.

Betty Benafe

Artikel Lain